Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Mampukah Wales membenam Belgium?
Diterbitkan:  Jul 1, 2016 10:59 PM
Dikemaskini: 4:21 PM

"Kalau kita boleh jadi juara, kamu bersara ya," kata pemain pertahanan Wales, Neil Taylor kepada rakan sepasukannya, Andy King.

Gurauan itu dituturkan Taylor di bangku simpanan selepas Wales mencatat kemenangan ke atas Ireland Utara pada saingan pusingan 16 pasukan terbaik Euro 2016, 25 Jun lalu.

Jika ditanya adakah Wales akan layak ke perlawanan akhir, baik Taylor mahu pun King tidak akan ketawa. Bagi mereka, apa saja boleh berlaku.

"Sangat luar biasa. Jarak kami dengan final hanya 180 minit dari sekarang," kata pemain kelab Swansea City itu seperti dilaporkan The Independent Online.

Sepanjang Euro edisi kali ini, Taylor turut menyumbang satu gol ketika mereka menang 3-0 bertemu Russia pada perlawanan akhir peringkat kumpulan B, 20 Jun lalu.

Dia juga terlibat dalam insiden ketika pemain pertahan Ireland Utara, Gareth McAuley menjaringkan gol sendiri untuk melayakan Wales ke perlawanan suku akhir.

Macam-macam boleh berlaku

Sebelum ini pada aksi kelayakan Euro 2016, Wales yang dibimbing Chris Coleman meraih empat mata ketika bertemu Belgium apabila mencatat keputusan sekali menang dan sekali seri.

Awal pagi nanti, nasib skuad The Dragon itu akan ditentukan selepas menghadapi cabaran Belgium di Stade Pierre-Mauroy dekat bandar raya Lille.

"Dalam tempoh 90 minit apa juga keadaan boleh berlaku," tambah Taylor.

Bagi seorang lagi pemain Wales, Chris Gunter berkata pasukannya disuntik dengan motivasi selepas mencatat beberapa kemenangan di Perancis.

"Saya rasa ketika bertemu Belgium nanti, kami akan bermain lebih bersemangat sebagai satu pasukan. Kami akan mencuba untuk menyerang lebih banyal dan kita ada pemain sesuai untuk melakukannya.

"Tidak ada yang menyasarkan kami sampai sejauh ini pada Euro 2016 ini," katanya.

Sepanjang saingan di Perancis kali ini, Wales sedikit demi sedikit dilihat menghakis kebergantungan kepada seorang pemain sahaja.

Gareth Bale selaku bintang dan penyerang sandaran misalnya merekodkan 19 percubaan dalam empat perlawanan dilaluinya dan jumlah itu mengatasi pemain pasukan lain.

Justeru, Wales tidak boleh mengharap sepenuhnya kepada Bale dalam menentukan kemenangan mereka. Pemain lain juga berkebolehan mencipta gol, hantaran dan percubaan berbahaya.

Berdepan Belgium nanti, rakan-rakan sepasukan Bale perlu berhati-hati dengan barisang serangan yang dimiliki pihak lawan.

Pemain berdarah Batak, Radja Nainggolan, dan rakan-rakan mungkin akan merantai pergerakkan Bale. Jika itu benar-benar terjadi, rakan-rakan Bale perlu lebih banyak memainkan peranan.

Lihat Komen
ADS