Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sejak saingan liga Malaysia kembali bersambung, skuad bola sepak Kelantan dilihat kian garang dan bekeng (bengis) kerana suntikan aura positif yang mula dipamerkannya.

Jika sebelum ini aura 'Qu Puteh' tidak cukup mengujakan, mungkinkah kehadiran Velizar Emilov Popov memberi kesan yang diharapkan, atau sekurang-kurangnya mampu menepati sasaran Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk musim ini.

Mungkin selepas ini barisan pemain Kelantan tidak perlu lagi bermandi 'air bunga' kerana kelibat Popov dan jeritannya dari tepi padang membawa aura tersendiri.

Jika dilihat perlawanan ditempuhinya sebelum ini, di sepanjang 90 minit aksi di padang, jurulatih dari Bulgaria itu tidak akan berdiam diri.

Tali leher menghiasi kameja hitamnya sentiasa nampak menari-nari mengikut rentak tubuhnya.

Minggu lalu, Popov dan anak buahnya 'beraya sakan' dengan menundukkan Terengganu 6-1 dalam saingan Liga Super.

Skuad The Red Warriors (TRW) itu juga beraksi cemerlang dalam saingan Piala Malaysia dengan menewaskan Pahang 1-0 dan seri dramatik 3-3 menentang Selangor.

Malam ini mereka akan berdepan Pahang untuk perlawanan ke-14 saingan pusingan kedua Liga Super.

Untuk rekod Kelantan tewas 3-4 pada saingan pusingan pertama April lalu.

Untuk menghargai kejayaan itu Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa memberikan bonus kepada pemain terbabit.

Percaya kredebiliti Popov

Popov ‎dipilih Kafa sebagai pengganti K Devan pada pertengahan Mei lalu, dan sehingga kini baru kalah satu perlawanan berbanding mengecapi tiga kemenangan dan satu seri.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.net) Mahizi Mahmmod berkata, sejak mengambil alih TRW, Popov dilihat menjadi nafas baru kepada pasukan itu dengan karektor tersendiri.

"Beliau dilihat sebagai seorang tegas. Gelagatnya di di tepi padang sentiasa mencuri perhatian penonton. Ia secara langsung menaikan semangat pemain dan penyokong untuk terus berjuang," katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu menurutnya, Popov juga berani membuat percaturan mengikut keadaan dan keperluan semasa pasukan.

"Keberanian taktikal Popov mendapat pujian dan kita lihat pada perlawanan menentang Selangor, dia berani memasukkan pemain muda dalam kedaan genting dan percaturan itu akhir membuahkan hasil," jelasnya.

Pada aski di Stadium Shah Alam Rabu lalu, TRW ketinggalan 1-3 dan Popov membuat pertukaran pemain, membawa masuk penyerang bagi menggantikan pemain pertahanan untuk menggempur benteng Selangor.

"Setakat ini penyokong sudah mula percaya dengan kredibiliti Popov dan kami selaku penyokong sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk pasukan," tambah Mahizi.

Kelantan kini berada pada kedudukan keempat Liga Super selepas 13 perlawanan dan mendahului kumpulan B saingan Piala Malaysia 2016.

Lihat Komen
ADS