Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kerana masih muda Khairul Idham perlu pengiring

Pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi memerlukan pegawai pengiring bagi menghadapi perlumbaan motosikal di luar negara berikutan usianya yang masih muda.

Pelumba berusia 17 tahun itu berkata dengan adanya khidmat pegawai pengiring, ia dapat memudahkan segala urusan berkaitan perlumbaan motosikal yang ditandingi selain dapat memberi sokongan moral terhadap dirinya.

"Saya masih muda, jadi, banyak perkara yang saya tidak tahu. Perjalanan masa yang saya tempuh untuk satu-satu perlumbaan pun sangat panjang.

"Apabila ada pegawai pengiring, sekurang-kurangnya dapat membantu saya ketika berada di luar negara dan karier saya pun akan lebih lancar dan terurus," katanya.

Pelumba muda dari Kampung Gajah itu ditemui pemberita di Pasir Salak pada majlis kesyukuran meraikan kejayaannya mengungguli perlumbaan Moto3 pada Kejohonan Motosikal Dunia di Jerman, baru-baru ini.

Khairul Idham menjelaskan ketika ini, beliau mempunyai pegawai pengiring yang dikenali sebagai Cik Mat, yang banyak membantu dirinya untuk memberi tumpuan penuh dalam menghadapi perlumbaan motosikal di luar negara.

"Sehingga kini, perbelanjaan Cik Mat sebagai pegawai pengiring terpaksa ditanggung sendiri kerana hanya saya saja yang ditangung pihak pengurusan dan penaja," katanya.

Dalam pada itu, bapa Khairul Idham, Pawi Omar berkata peruntukan yang diterima daripada daripada Kementerian Belia dan Sukan berjumlah RM200,000 akan digunakan untuk membiayai khidmat pegawai pengiring anaknya itu.

Pada Rabu lepas, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin melalui kementeriannya telah meluluskan peruntukan permulaan sebanyak RM100,000 bagi membantu karier Khairul Idham.

Khairy juga memaklumkan beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan untuk meluluskan RM100,000 lagi kepada pelumba pasukan Honda Team Asia itu sebagai tambahan kepada peruntukan yang diluluskan sebelum ini.

Dalam perlumbaan Moto3 di Sachsenring 17 Julai lepas, Khairul Idham membuktikan kemampuannya berlumba di litar basah apabila memintas satu demi satu pesaingnya selepas memulakan saingan dari petak ke-20.

Kemenangan di Jerman itu adalah yang kedua buat pelumba itu selepas menawan GP Argentina pada April lepas. Ini adalah musim sulung pelumba itu dalam Moto3.

Khairul Idham, yang kini bersama pasukan Honda Team Asia yang berpangkalan di Sepanyol memulakan kerjaya sebagai pelumba pada 2012, dengan menyertai perlumbaan ‘Honda One Make Series’ sebelum memenangi juara kategori Wira Cub Prix pada 2013, diikuti kejuaraan pada Asia Dream Cup setahun kemudian.

- Bernama

Lihat Komen
ADS