Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Tunku Ismail taja petinju berlatih di Las Vegas

Petinju profesional negara Muhamad Farkhan Haron yang menjuarai Majlis Tinju Asia (WBC) kategori cruiserweight di Singapura Sabtu lalu, akan menjalani latihan di Kelab Tinju Mayweather di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Beliau berkata latihan selama dua tahun itu adalah atas tajaan penuh daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan melibatkan kos kira-kira RM4 juta.

Bercakap dalam sidang media di Johor Bahru hari ini, katanya sehubungan itu beliau tidak bercadang bertanding di peringkat kejuaraan dunia dalam tempoh dua tahun ini.

"Untuk kejuaraan dunia, saya rasa bukan dalam waktu terdekat kerana saya belum cukup yakin terhadap kebolehan diri ... dalam tempoh itu saya akan tumpukan perhatian terhadap latihan di sebuah kelab tinju di Las Vegas, Amerika Syarikat," katanya.

Katanya beliau akan bertolak ke negara itu tidak lama lagi selepas mendapat kelulusan visa.

"Saya mengalami masalah dalam permohonan visa kerana apabila pertama kali memohon pada Disember lalu, saya tersilap memilih jenis visa menyebabkan permohonannya ditolak.

"Kini, saya dalam proses memohonnya semula dan berharap ia berjalan lancar," kata Muhamad Farkhan yang akan ditemani isteri dan ibu ke negara itu nanti.

Mengulas mengenai kemenangannya menentang peninju Indonesia Elly Pangaribuan, petinju berusia 28 tahun itu berkata ia adalah keputusan di luar jangkaan.

"Saya anggap pertemuan dengannya adalah satu cabaran besar memandangkan beliau mempunyai ranking tersendiri," katanya.

Muhamad Farkhan berjaya mengalahkan petinju tersebut selepas hanya dua pusingan daripada jumlah 12 pusingan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS