Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tengku Abdullah di pintu keluar FAM?
Diterbitkan:  Jul 29, 2016 12:20 PM
Dikemaskini: 7:30 AM

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah digambarkan sedang menuju jalan keluar daripada FAM susulan kontroversi yang melanda badan induk bola sepak negara itu.

Beliau memberi bayangan akan melepaskan jawatan Presiden FAM dan dilaporkan berkata “dalam proses keluar”.

Tengku Abdullah, yang menjadi presiden sejak dua tahun lalu, menegaskan beliau “sudah tiada urusan”, selepas bertemu Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di sebuah hotel di Kuala Lumpur, kelmarin.

“Tanya dia (Khairy). Tanya dia. Tidak (enggan memberitahu). Itu sahaja persefahaman (dengan Khairy). Minta maaf.

“Terpulang kepada sesiapa yang mahu selesaikannya, saya sudah tiada urusan. Kamu (wartawan) tahu. Saya dalam proses keluar atau dalam bahasa Inggeris on my way out,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online, hari ini.

Beliau bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut pertemuan dengan Khairy.

Terdahulu FAM dikritik hebat oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sejak dua minggu lalu selepas empat pemain skuad kebangsaan Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal mengumumkan persaraan daripada mewakili negara.

Kesemua pemain skuad Harimau Selatan itu menjadi pemain utama skuad kebangsaan.

FAM turut menerima tamparan hebat apabila Tunku Ismail membangkitkan beberapa isu yang melanda bola sepak negara dan FAM, selain mendakwa mempunyai maklumat rasuah 30 ahun persatuan itu yang disimpan dalam satu pendrive.

Khairy telah mengadakan pertemuan dengan Tunku Ismail di Johor Bahru.

Bendahari FAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria juga telah menemui Tunku Ismail semalam untuk memberi penerangan berkaitan keadaan pengurusan kewangan selain memberitahu FAM bersedia menerima sebarang pandangan.

Bagaimanapun, TMJ dalam temubualnya yang disiarkan dalam Facebook Johor Southern Tigers berkata, beliau telah diberi taklimat mengenai laporan kewangan FAM dan mendapati banyak perkara perlu diperbetulkan.

Tengku Abdullah pernah menyatakan hasrat berundur 7 September tahun lalu setelah kekalahan besar 0-10 skuad kebangsaan kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Abu Dhabi.

Surat peletakan jawatannya telah dihantar kepada barisan Exco FAM bagaimanapun ditolak atas alasan khidmat Tengku Abdullah masih diperlukan.

Lihat Komen
ADS