Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan

Barisan atlet Malaysia yang beraksi di Sukan Olimpik Rio de Janeiro tidak pernah menimbulkan soal ganjaran yang bakal diterima mereka, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Sebaliknya, dedah Khairy, mereka memberi tumpuan di temasya itu semata-mata untuk beraksi demi negara.

"Sepanjang saya berada di Rio, tak ada seorang pun atlet yang datang bertanya mengenai ganjaran bakal diterima mereka sekiranya berjaya membawa pulang pingat.

"‎Mereka buat untuk negara. Bila jumpa dengan saya tak pernah pun tanya bila akan dapat, apakah ada tambahan ganjaran akan diberikan," katanya pada sidang media di Komplek Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL, Sepang hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan imbuhan tambahan kepada atlet yang meraih pingat perak dan gangsa sebanyak RM200,000.

Ditanya adakah ganjaran itu sebagai perangsang kepada atlet untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020, Khairy berkata, insentif itu diberi untuk mengiktiraf kejayaan terbaik atlet Olimpik negara.

"Insentif saya percaya (untuk) iktiraf Kontijen Olimpik terutama best ever olimpics dan akan beri satu semangat," katanya.

Mengulas pencapaian Malaysia sepanjang temasya di Brazil itu, Khairy berkata, atlet negara mencatatkan peratusan pencapaian yang tinggi dengan mengambil kira jumlah penyertaan.

‎"Saya melihat dari segi pencapaian atlet kita, dari segi peratusan berbanding saiz kontijen. Atlet kita 32 orang dan berjaya menang lima (pinga).

"Peratusan atlet dapat pingat ialah 25 peratus. Tinggi berbanding negara lain, pingat dari tiga sukan," katanya.

Tambah beliau walaupun Malaysia belum memperolehi pingat emas,‎ pencapaian kali ini dianggap sangat cemerlang.

‎"Pencapaian kali ni terutama badminton sangat cemerlang. Landasan kukuh untuk kejayaan lebih besar di Tokyo.

"Secara keseluruhan sangat bangga dan puas hati. Pencapaian terbaik dalam penyertaan Malaysia dalam Olimpik. Empat perak dan satu gangsa ini menunjukkan peningkatan sangat baik dan luar biasa dari kontijen kita," katanya.‎

Lihat Komen
ADS