Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pendrive 'panas' TMJ: Kini terserah Khairy
Diterbitkan:  Aug 26, 2016 2:16 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini bertindak menyerahkan pendrive yang didakwa mengandungi laporan mengenai FAM kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

JDT dalam kenyataan di Facebook rasmi mereka melaporkan, Tengku Mahkota Johor itu menerima kunjungan Khairy hari ini di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru.

"Antara topik yang diperbincangkan adalah berkaitan program-program pembangunan belia dan berkongsi pendapat mengenai isu-isu semasa terutama melibatkan sukan bola sepak.

"Tunku Ismail juga membuat masa yang sama menyerahkan pendrive laporan mengenai FAM kepada YB Khairy Jamaluddin. Luaskan Kuasamu Johor," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut disertakan dengan sekeping gambar mereka berdua sambil Khairy menunjukkan pendrive berwarna merah.

Tunku Ismail sebelum ini mendakwa wujudnya amalan rasuah berpanjangan dalam FAM, sehingga 30 tahun.

Beliau mendakwa mempunyai butiran lanjut, termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, pengambilan duit kelab dan laporan audit yang didakwa 'merepek'.

Pada 18 Julai lalu Malaysiakini melaporkan Tunku Ismail membuat dakwaan berlaku amalan rasuah berpanjangan - sehingga 30 tahun dalam FAM.

SPRM sedia ambil tindakan

Antara bukti yang ada padanya - dan tersimpan dalam sebuah pendrive - ialah maklumat ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, pengambilan duit kelab dan laporan audit yang didakwa “merepek”.

“Apa yang pelik adalah anda semua boleh terima selama ini dan sanggup mempertegakkan 30 tahun korupsi dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya.

Tunku Ismail mendakwa pendrive itu diperoleh daripada "sahabat-sahabat berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur".

Ekoran dakwaan itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengalu-alukan penyerahan maklumat berhubung dakwaan berkenaan kepada agensi antirasuah berkenaan.

"SPRM mengalu-alukan Tunku Ismail menyerahkan butiran berkaitan bagi membolehkan SPRM mengambil tindakan selanjutnya.

"Sekiranya terdapat maklumat yang mempunyai asas di bawah kesalahan Akta SPRM 2009, pihak SPRM bersedia mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang," kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun pada 22 Julai Malaysiakini memetik beliau sebagai berkata isu berkenaan akan diselesaikan "dengan caranya sendiri".

Malah Tunku Ismail berkata masih banyak lagi kes besar di negara ini yang belum mampu diselesaikan SPRM dan adalah lebih baik bagi mereka memberikan tumpuan kepada isu berkenaan.

"Maklumat di dalam pendrive ini adalah hak milik saya. Saya sendiri akan selesaikan isu ini dan sekiranya saya mahu pertolongan SPRM, saya sendiri yang akan memanggil SPRM," katanya.

Tunku Ismail juga berpendapat hal berkenaan tidak perlu dihebohkan, manakala pihak yang tidak berkenaan diminta "duduk diam-diam" saja dan menyelesaikan "masalah dan hutang masing-masing".

"Masalah FAM ialah terlalu ramai pejuang (untuk) FAM di luar FAM," katanya.

Buat masa ini, katanya, beliau akan menyelesaikan isu berkenaan dengan "pihak tertentu".

Selepas merdeka FAM diketuai perdana menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang berkhidmat antara 1958 hingga 1974.

Selepas itu jawatan berkenaan diisi pengganti beliau, Tun Abdul Razak Hussein yang mengepalai FAM antara 1975 hingga 1976.

Tempat itu diganti pula oleh Tan Sri Hamzah Abu Samah (1976 hingga 1983) diikuti Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah (1984 hingga 2014) sebelum baginda berundur.

Jawatan presiden FAM kini disandang anakanda Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sejak 2014.

Lihat Komen
ADS