Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Piala Malaysia: Pasukan tuan rumah 'goyang'
Diterbitkan:  Aug 28, 2016 11:36 PM
Dikemaskini: 3:42 PM

Kelantan, Negeri Sembilan, T-Team dan PKNS FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia 2016, malam ini.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu menyaksikan pasukan pelawat, PDRM bergembira dengan membawa pulang kemenangan 2-1.

Bekalan selesa buat skuad bimbingan Mohd Fauzi Pilus ke perlawanan suku akhir kedua walaupun dua pemain mereka dikenakan kad merah di separuh masa kedua.

PDRM tampil mengejutkan penyokong Kelantan dengan jaringan Safuwan Baharudin seawal minit keempat sebelum Indra Putra Mahyuddin menyamakan kedudukan pada minit ke-15.

Bagaimanapun, PDRM berjaya meraih gol kedua Guiherme De Paula lapan minit kemudian sebelum perlawanan dilaporkan lebih agresif di separuh masa kedua.

Walaupun mencipta kemenangan di tempat lawan, dua pemain PDRM iaitu K Rueben dan Guiherme masing-masing dikenakan kad merah pada minit ke-61 dan 90.

Aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pula Negeri Sembilan sekadar mampu bertahan daripada dibolosi pasukan Kedah untuk keputusan seri 0-0.

Kedua-dua pasukan mempamerkan permainan seimbang walaupun Kedah dilihat lebih mendominasi peluang untuk mencipta jaringan.

Sementara itu perlawanan 'adik-beradik' antara PKNS FC dan Selangor berkesudahan dengan keputusan 3-4 dalam aksi di Stadium Shah Alam.

PKNS tampil sebagai tuan rumah malam ini menunjukkan kebangkitan tersendiri walaupun terpaksa akur dengan kekalahan itu.

Ketinggalan 0-2 di awal perlawanan tidak mematahkan semangat jentera 'semut merah' apabila bangkit menyamakan kedudukan 3-3 di separuh masa kedua.

Namun, skuad The Red Giants membuktikan kekuatan mereka selaku juara bertahan apabila mendahului perlawanan dengan jaringan keempat Mauro Olivi di minit ke-85.

Siapa ke separuh akhir?

Satu lagi aksi di Stadium sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu turut menyaksikan tuan rumah, T-Team gagal memanfaatkan kelebihan laman sendiri.

Menerima kunjungan Felda united, T-Team bermula baik dengan jaringan seawal minit ketiga perlawanan melalui Rashid Sapawi. Namun skuad pelawat menyamakan kedudukan untuk keputusan 1-1.

Jika disandarkan kepada keputusan perlawanan malam ini, masih sukar untuk meramal pasukan mana bakal menempah slot ke separuh akhir susulan saingan sengit dipamerkan oleh setiap pasukan.

Bersandarkan keputusan malam ini, masih sukar untuk meramal pasukan mana bakal menempah slot ke separuh akhir susulan saingan sengit dipamerkan oleh setiap pasukan.

Kesemuan pasukan akan beraksi dalam episod suku akhir kedua untuk aksi timbal-balik dijadualkan berlangsung pada 17 September depan.

Lihat Komen
ADS