Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
'Sayang-sayang semua, saya sedih...'
Diterbitkan:  Aug 30, 2016 6:04 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Penaja utama pasukan bola sepak Kelantan, Datuk Seri Hasmiza Othman menggesa peminat skuad berkenaan memberikan sokongan padu dengan memakai jersi merah jambu di stadium.

Dalam aksi dilihat seperti ngepek (berleter) Hasmiza berkata beliau sedih melihat penyokong skuad The Red Warriors musim ini tidak memakai jersi yang dikeluarkannya sebagai tanda sokongan kepada pasukan.

"Penyokong kenalah sokong, sokong apa sayang...? Belilah jersi saya, tengok di stadium. Kalau pergi tengok bola cacamarba, kelabu rojak semua ada.

"Kalau sayang-sayang semua minat bola, sayang bola tak boleh ke pakai baju warna pink (merah jambu)?" katanya melalui rakaman video disiarkan portal mStar Online hari ini.

Awal tahun ini Hasmiza tampil mengejutkan peminat bola sepak tempatan dengan menyediakan tajaan berjumlah RM16 juta kepada pasukan Kelantan untuk mengharungi dua musim liga Malaysia.

Selain penajaan, melalui syarikatnya itu Hasmiza turut menghias Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu dengan warna merah jambu dan putih sebagai warna simbolik pasukan itu.

Kata Hasmiza - yang juga dikenali sebagai Vida - beliau sedih dengan keadaan itu.

"Maruah tergadaikah pakai baju warna pink? Sayang-sayang semua, itu yang saya sedih.

"Semangat ada, berjuang cakap itu ini segala, boleh tak laburkan jadi sponsor (taja) untuk diri sendiri. Pakai cantik bergaya.

"Pakai jersi hari-hari, malam ada perlawanan pakailah jersi warna pink supaya kita tengok keseragaman, nampak keindahan. Boleh tak sayang?" rayu pengasas syarikat Vida Beauty Sdn Bhd itu.

Menurut usahawan kelahiran Kelantan itu, beliau sudah menyediakan harga istimewa RM68 supaya jersi berkenaan mampu dimiliki penyokong Kelantan.

"Tapi sayang beli tak jersi? Itulah saya kadang-kadang sedih juga. Cakap pung-pang pung-pang sampai ke langit sokong bola sokong itu sokong ini.

"Sokong bukan sekadar dengan air liur sayang oi.

"Kenalah bagi sesuatu kepada pasukan dan saya yang membiayai pasukan ini mengharapkan sayang semua paling tak ada pun pakailah baju pink," katanya dalam video berdurasi kira-kira dua minit itu.

Sementara itu, skuad bimbingan Velizar Emilov Popov kini berada di kedudukan kelima Liga Super dan sedang bersaing di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2016.

Lihat Komen
ADS