Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
JDT tetap garang dan julang piala
Diterbitkan:  Sep 24, 2016 10:58 PM
Dikemaskini: 3:35 PM

Walaupun gelaran juara Liga Super sudah dimilik mereka, JDT tetap garang membelasah lawan pada dua perlawanan terakhir musim ini.

Menerima kunjungan T-Team, skuad harimau Selatan membaham kelab dari Terengganu itu dengan jaringan 5-1, sebentar tadi.

Empat gol sentuhan Juan Martin Lucero dan jaringan pembukaan Amirul Hadi Zainal pastinya memberi kegembiraan penyokong mereka di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Walaupun tanpa kehadiran kapten Safiq Rahim, anak buah Mario Gomez merobek gawang lawan seawal minit keenam.

Kombinasi Amirul Hadi, Lucero, Jorge Pereyra Diaz, Gary Steven Robbat dan Amri Yahyah cukup memberi masalah besar kepada skuad pelawat.

Kesungguhan pemain-pemain JDT tidak boleh disangkal lagi untuk layak meraih gelaran musim ini.

Walaupun berbaki satu perlawanan lagi, kecemerlangan JDT setakat ini belum mampu dinafikan mana-mana pasukan.

Johor berpesta malam ini, JDT untuk kali ketiga berturut-turut mengekalkan piala utama bola sepak Malaysia di Johor.

Diiringi Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor Tunku Aminah Sultan Ibrahim menyerahkan piala Liga Super kepada Safiq.

Difahamkan, barisan pahlawan-pahlawan Harimau Selatan akan diarak sambil menjulang piala kebanggaan mereka untuk diraikan bersama rakyat Johor.

Sudah terbukti JDT mencipta sejarah tersendiri dalam era bola sepak moden negara.

Musim ini mereka mengutip 55 mata dalam 21 perlawanan dengan 17 kemenangan dan empat seri serta baki satu perlawanan menentang Selangor pada 22 Oktober depan.

Keputusan perlawanan lain:

Felda United 3-3 Sarawak
Pahang 1-0 Pulau Pinang
Selangor 0-1 Perak
Terengganu 0-3 Kedah
PDRM 1-2 Kelantan

Lihat Komen
ADS