Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Malaysia Dragons akhiri Piala Merlion di tempat keenam

Perjalanan kali ini di Piala Merlion berakhir dengan suatu pengajaran buat Westports Malaysia Dragons.

Walaupun kalah dalam ketiga-tiga perlawanan dalam kejohanan ini, Dragons harus berbangga kerana mampu memberi saingan kepada pasukan lain yang telah bersama berbulan-bulan, malah ada yang telah berlatih sejak lima tahun lalu.

Malaysia Dragons kecundang dalam persaingan tempat kelima kepada pasukan dari Taiwan, Kinmen Kaoliang Liquor sebanyak 8 mata, 84-76.

Satu-satunya pemain import Dragons, Joel Dwyane Wright menyumbang 28 mata dan 7 rebound, manakala Wong Yi Hou pula mendapat 20 mata.

Melvin Marcus dari Kinmen Kaolin Liqour mendapat 25 mata dan 17 rebounds manakala Chien Wei-Ju menyumbangkan 23 mata dan 3 rebound.

Ketua jurulatih Dragons, Christopher Thomas yang baru bersama dengan pasukan Malaysia selama enam hari, menyifatkan kejohanan kali ini di Singapura sangat berjaya.

"Saya tahu bunyinya terlalu optimistik dan lain daripada komen kebanyakan orang, tetapi saya hanya bersama pasukan ini selama enam hari.

"Ini merupakan peluang yang baik untuk Dragons mempelajari kelebihan dan kelemahan mereka dalam pertandingan berbanding dengan latihan di gelanggang sahaja," kata Thomas.

Walaupun berdepan pasukan yang lebih bersedia, Thomas merasakan pasukan Dragons yang belum lagi menyesuaikan diri antara satu sama lain, memberi sedaya upaya dalam memberi saingan kepada lawan.

Dalam suku pertama, Kinmen bermula dengan serangan bertubi-tubi tetapi benteng pertahanan Dragons mempu bertahan.

Wong Yi Hou pula mengembalikan serangan dengan 6 mata untuk akhiri suku pertama dengan Kinmen mengatasi Dragons sebanyak 7 mata, 22-15.

Dragons masih belum lagi dapat menyaingi jaringan mata dengan Kinmen, dan strategi pihak lawan untuk mengehadkan Kuek pula mengurangkan peluang Dragons mengutip mata. Dragons masih ketinggalan pada akhir suku kedua, 43-32.

Kinmen mendominasi ritma permainan dalam separuh masa kedua dengan perbezaan sebanyak 18 mata, 70-52 dalam suku keempat tetapi Dragons kembali mengurangkan jurang mata dalam minit-minit terakhir.

Joel Dwyane Wright menjaringkan mata terakhir dengan 'dunk' dan mengakhiri perlawanan dengan 84-76.

Kinmen Kaoliang Liquor menduduki tempat kelima manakala Westports Malaysia Dragons menduduki tempat keenam.

Lihat Komen
ADS