Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mereka beraksi dengan semangat, berlari ke segenap sisi padang, menghantar bola dan kadang-kadang melakukan kesalahan di sebalik penampilan jersi berwarna kuning dan merah jambu.

Mereka bersorak dalam kumpulan kecil seperti perlawanan amatur lain dan suasana itu berlangsung pada petang Ahad lalu seperti di kebanyakan bandar-bandar besar lain seluruh dunia.

Tetapi di atas padang di ibu negara, Kuala Lumpur, pasukan yang terdiri daripada pelarian Rohingya itu menghadapi cabaran di sisi lain.

Pemuda-pemuda minoriti Islam dari Myanmar itu cuba menangani prejudis yang mereka hadapi dalam persekitaran masyarakat baru di negara ini.

Bagi Mohammed Farouque, dia melalui perjalanan berbahaya untuk ke Malaysia dengan menaiki sebuah bot yang sesak, berkampung di kem penyeludupan manusia di hutan sebelum merasai udara kebebasan baru.

"Sejak lahir, saya tidak mengenal (erti) kebebasan," katanya yang mengendalikan Kelab Bola Sepak Rohingya di Kuala Lumpur.

"Kami boleh bermain bola sepak secara terbuka di sini. Di Myanmar, kita tidak dibenarkan keluar dari rumah. Saya terpaksa meninggalkan negara untuk menyelamatkan nyawa sendiri," jelasnya.

Berpuluh ribu warga Rohingya - majoritinya beragama Islam bertindak masuk ke Malaysia untuk melarikan diri daripada diskriminasi kejam di tanah air yang tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara.

Selepas perjalanan berbahaya termasuk berdepan maut untuk ke Malaysia, masalah mereka jauh daripada penyelesaian.

Seramai 150,700 pelarian Rohingya yang memohon suaka untuk hidup masih dibayangi masyarakat negara ini dan dihalang daripada bekerja secara rasmi atau mendapat pendidikan formal.

Sebaliknya mereka sering digambar sebagai pendatang tanpa izin dan mempunyai hubungan terhad dengan rakyat Malaysia.

Melalui bola sepak, pelarian Rohingya ini mempunyai lebih daripada satu matlamat di minda mereka.

Mereka melihat sukan itu sebagai satu cara agar remaja keluar daripada masalah dan peluang untuk menembusi 'tembok perhubungan' dengan rakyat di tanah air baru mereka ini.

"Di Malaysia kita tidak dibenarkan bekerja dan kami tiada sokongan. Kita tidak mahu anak-anak muda terlibat dengan jenayah, jadi kami galakkan mereka untuk bermain bola sepak," kata Farouque.

"Kami mahu tunjukkan pada dunia Rohingya boleh mencapai sesuatu yang hebat," tambah pemain berusia 23 tahun itu pada sesi perlawanan menentang satu pasukan Rohingya dari negeri Melaka.

Satu bumbung sama

Kelab Bola Sepak Rohingya ditubuhkan pada 2015 dan dibarisi pemain berusia antara 18 hingga 30 tahun.

Setakat ini, kelab itu telah mengambil bahagian dalam beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan tempatan termasuk pasukan agensi buruh negeri dan pihak penyiaran tempatan.

Inisiatif mereka itu juga telah memberi inspirasi kepada masyarakat Rohingya di bandar-bandar lain bagi menubuhkan pasukan masing-masing.

Pada perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Melaka itu, kedua-dua pasukan beraksi di padang komuniti di Ampang yang bberdekatan dengan Menara Berkembar Kuala Lumpur.

Kira-kira 100 pelarian dan penduduk setempat berkumpul di luar padang sebagai penonton dan bersorak menyaksikan perlawanan itu.

Perlawanan itu dikawal oleh seorang pengadil yang juga rakyat tempatan, Pannir Selvam. Dia mengetahui mengenai pasukan bola sepak itu selepas menyaksikan sekumpulan anak-anak muda berlatih.

Katanya, dia secara sukarela turut sama menyokong pasukan itu selepas semangat yang dipamerkan mereka.

"Saya suka dengan permainan mereka. Saya gembira dan berbangga dengan mereka," katanya lelaki berusia 60 tahun itu.

"Banyak yang perlu kita lakukan. Kita rakyat Malaysia, kita tinggal di bawah bumbung yang sama, di negara sama, kita perlu lebih mengenali mereka dengan baik," jelasnya.

Walaupun mempunyai semangat tinggi, kelab bola sepak Rohingya itu sering menghadapi masalah kewangan.

Sekurang-kurangnya RM350 sebulan diperlukan bagi menampung kos seperti sewaan tempat latihan dan setakat ini bergantung kepada sumber terhad yang diusahakan sesama mereka sendiri.

Pasukan pelarian Olimpik

Bagi kebanyakan pelarian, boal sepak dapat mengeluarkan diri sementara daripada masalah kehidupan mereka dan peluang keluar daripada diskriminasi yang dihadapi dalam kehidupan seharian.

"Bermain bola sepak hanya secara santai," kata Saiful Shahidul yang mewakili kelab dari Melaka dan bekerja di tapak pembinaan untuk menampung diri dan keluarganya.

"Saya ingin menjadi pemain bola sepak profesional satu hari nanti," katanya yang juga peminat bintang bola sepak Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Bagi Farouque, dia bercita=cita menyertai kejohanan liga selepas melihat pasukan Pelarian pertama di Sukan Olimpik Rio, baru-baru ini.

"Insya-Allah kita akan bermain di Sukan Olimpik satu hari seperti pasukan Pelarian," katanya.

Lihat Komen
ADS