Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
FA siasat pengurus England Sam Allardyce
Diterbitkan:  Sep 27, 2016 9:05 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Persatuan Bola Sepak England (FA) sedang menyiasat dakwaan bahawa Pengurus England Sam Allardyce menggunakan kedudukannya untuk berunding dalam perjanjian bernilai 400,000 pound (RM2.1 juta) dan mengelak peraturan perpindahan pemain.

FA dilapor akan bermesyuarat apabila pengerusi barunya Greg Clarke dan ketua eksekutifnya Martin Glenn akan membuat keputusan mengenai isu berkenaan.

"Saya mahu semua fakta, mendengar segala-galanya dari semua orang dan membuat pertimbangan mengenai apa yang perlu dilakukan," kata Clarke.

"Ia tidak sesuai untuk menilai awal isu ini. Dengan perkara-perkara seperti ini, anda perlu menarik nafas dalam-dalam," katanya seperti dilapor The Times.

Terdahulu, Sam Allardyce dirakam secara rahsia memberi nasihat bagaimana untuk mengelakkan peraturan perpindahan serta meniru suara pendahulunya, Roy Hodgson.

Allardyce, 61, dirakam memberi nasihat kepada seorang lelaki yang mendakwa wakil sebuah syarikat dari Asia Timur dengan mengatakan ia tidak mustahil untuk "mengelak" peraturan FA yang menghalang pihak ketiga daripada memiliki pemain.

Pengurus berusia 61 tahun itu yang dilantik membimbing skuad Three Lions pada Julai lalu, bersetuju untuk datang ke Singapura dan Hong Kong sebagai duta syarikat itu dan mendedahkan bagaimana untuk mengelak tindakan FA.

Lelaki itu bagaimanapun sebenarnya adalah wartawan Telegraph yang menyamar dan kemudian melaporkannya dalam satu pendedahan ekslusif.

Pemilikan pihak ketiga dalam bola sepak bermaksud melibatkan kuasa sesebuah syarikat untuk memiliki kepentingan terhadap pemain tertentu.

FA mengharamkan amalan itu pada 2008 dan dituruti badan bola sepak dunia, FIFA pada 2015.

Lihat Komen
ADS