Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Jika sesuatu acara itu dicop sebagai 'mengundang maut', golongan ibu bapa pastinya berat untuk membenarkan anak-anak mereka mendekatnya.

Insiden tragis menyebabkan kematian Izwan Isa dan anaknya Nur Zulaikha Ahad lalu susulan dirempuh go-kart semasa perlumbaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kuantan dilihat memberi kesan terhadap sukan itu sendiri.

Walaupun secara tidak langsung, ia boleh 'membunuh minat' generasi muda khususnya terhadap sukan ekstrem atau mungkin akan dihalang pembabitan oleh keluarga.

Walaupun kes masih dalam siasatan polis dan badan berkaitan, kejadian seumpama itu sedikit sebanyak menakutkan masyarakat betapa acara sukan tersebut dapat mengundang maut.

Kecuaian mungkin menjadi faktor berlaku kejadian menyayat hati itu, walaupun kemalangan dalam aktiviti sukan bukan isu baru.

Berdasarkan video kejadian yang tersebar luas, salah satu puncanya adalah benteng plastik yang digunakan sebagai penghadang antara litar dan tempat penonton.

Dengan kelajuan tertentu, objek yang menggunakan material itu pastinya tidak mampu menghadang go-kart yang merempuhnya.

Jika menendang pun penghadang itu boleh terbalik. Inikan pula kesan rempuhan kuat.

Dari pasu bunga ke penghadang plastik

Prosedur operasi standard (SOP) bagi litar perlumbaan go-kart kebiasaannya menggunakan objek misalnya seperti tayar kereta yang bersifat anjal sebagai penghadang.

Kejadian ini justeru mengingatkan kita terhadap insiden hampir sama pada 27 Mei 2012 lalu di Putrajaya.

Ia menyaksikan 17 penonton cedera termasuk empat parah apabila berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta yang mengambil bahagian sesi ujian perlumbaan drag sempena sambutan Hari Belia Negara.

Seorang saksi yang mengalami kecederaan berkata, penganjur hanya menggunakan pokok bunga sebagai pemisah antara para penonton dan kawasan litar perlumbaan.

Kenapa selepas empat tahun, insiden seumpama itu berulang? Kenapa pokok bunga hanya berganti penghadang plastik?

Sisi-sisi keselamatan perlu diutamakan dalam menganjurkan program. Persekitaran litar, jenis litar, kawalan keselamatan, pemakaian pelumba, jarak antara litar dan penonton antara aspek asas.

Secara umum, bagi sukan pemotoran pihak penganjur sewajarnya menyediakan tempat penonton yang statik dengan jarak selamat dari litar perlumbaan supaya kejadian tersebut dapat dielak.

Jika penonton dibenarkan berjejeran di tepian litar, separuh kaki mereka sudah di ambang risiko yang mengancam keselamatan. Keadaan itu itu patut berlaku sama sekali.

Bukan sukaneka

Ini bukan acara sukaneka dan penganjur pula dari institusi pengajian tinggi yang bekerjasama dengan pihak-pihak berpengalaman.

Pengalaman lalu sepatutnya diambil perhatian untuk penganjuran acara sedemikian di masa akan datang, ia memerlukan pengamatan yang mencabar kepada penganjur seperti mana cabaran dihadapi pelumba di litar sendiri.

Setiap aspek perlu dititik berat dengan teliti dan itulah antara cabaran yang perlu dihadapi penganjur.

Kemudian seperti biasa pihak kerajaan melalui kementerian berkaitan perlu memainkan peranan letak duduknya hal-hal keselamatan dalam menjalankan aktiviti sukan.

Garis panduan atau SOP perlu dikuat kuasa dengan tegas melalui pihak bertanggungjawab dan bukan saling menuding jari selepas kejadian buruk berlaku.

Sementara itu, masyarakat awam sebagai penonton di zaman Facebook ini perlu juga mengambil langkah celik dan sedar terhadap suasana di sekeliling mereka.

Kita memang tidak mampu menolak takdir, sekurang-kurang mengambil langkah berjaga-jaga sebagai usaha menjaga keselamatan walaupun atas kecuaian pihak lain.

Lihat Komen
ADS