Paling Popular
Terkini

JDT membawa risiko untuk bertandang ke gelanggang Bengaluru FC selepas sekadar seri 1-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala AFC, sebentar tadi.

Keputusan cabaran di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu memberi kelebihan kepada pasukan lawan membawa pulang satu gol di tempat lawan sebagai bekalan untuk aksi penentuan 19 Oktober nanti.

Menyedari perlawanan penting dihadapi mereka, anak buah Mario Gomez tampil menguasai permainan sebaik wisel sepak mula.

Sebagai juara musim lalu, skuad Harimau Selatan sekurang-kurangnya masih mengekalkan rekod tanpa kalah mereka musim ini.

Nampaknya, sukar untuk JDT kali ini berdepan cabaran wakil pasukan dari India itu.

Pada 45 minit pertama, Safiq Rahim dan rakan-rakan merencana pelbagai jurus serangan.

Percaturan JDT nampak lebih teratur berbanding taktikal Bengaluru untuk menguasai bola dan mengatur peluang dengan serangan pantas.

Namun, benteng pertahanan pasukan pelawat diketuai pemain import dari England, John Johnson begitu kebal untuk dibolosi.

Pujian juga harus diberikan kepada penjaga gol Bengaluru, Amrinder Singh yang tampil dengan aksi penyelamatan berdepan percubaan jentera serangan tuan rumah.

Bengaluru ada Amrinder

JDT mempunyai kelebihan di posisi serangan, manakala Bengaluru pula begitu kebal menyusun jentera pertahanan mereka mengekang asakan lawan.

Minit ke-26 peluang menarik dimiliki JDT melalui hantaran lintang Aznee Taib kemas ditanduk Juan Martin Lucero, namun percubaan itu berjaya ditepis kemas Amrinder.

Sekurang-kurangnya tiga peluang emas dimiliki Harimau Selatan dan semuanya berjaya diselamatkan penjaga gol lawan di separuh masa pertama.

Kembali ke padang untuk 45 minit kedua, JDT tidak menangguh terlalu lama untuk mendahului pasukan lawan dengan jaringan Jorge Pareyra Diaz pada minit-53.

Sayangnya, hanya empat minit yang memberi kegembiraan kepada ribuan penyokong JDT yang memenuhi stadium keramat di Larkin itu.

Minit ke-57 Eugeneson Lyngdoh meledak bola dari luar kotak penalti menumpaskan Izham Tarmizi Roslan untuk gol menyamaan Bengaluru.

Di penghujung tempoh perlawanan, JDT tetap menunjukkan komitmen tinggi mereka dalam usaha memburu jaringan.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka. Bengaluru berjaya bertahan untuk memastikan kelebihan gol ditempat lawan dibawa pulang sebagai bekalan separuh akhir kedua.

Lihat Komen
ADS