Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Terbuka Korea Selatan: Beregu M'sia kecundang

Cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea Selatan berakhir selepas dua pasangan negara tewas di separuh akhir di Stadium Tertutup Seong-nam, Seoul, hari ini.

Pada perlawanan yang disiarkan secara langsung di sebuah televisyen swasta, pemenang pingat perak acara beregu lelaki Sukan Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang juga pilihan kelima, tumpas 21-18, 15-21 dan 13-21 kepada pilihan ketujuh dari China, Li Junhui-Liu Yuchen.

Untuk rekod, pasangan China itu merangkul kejuaraan pada Terbuka Jepun, minggu lepas.

Satu lagi pasangan negara yang meraih perak di Sukan Olimpik Rio, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, juga gagal menempah slot ke final apabila tewas 21-15, 14-21 dan 15-21 kepada pilihan utama dari Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Kim Ha Na dalam acara beregu campuran.

Cabaran pemain Malaysia dalam dua lagi acara - perseorangan lelaki dan beregu wanita - tersingkir di pusingan awal selepas tumpas kepada lawan masing-masing.

Malaysia tidak menyenaraikan pemain dalam acara perseorangan wanita pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$600,000 (RM2.477 juta) itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS