Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Dua pemanah Sukma gagal ujian doping dihukum
Diterbitkan:  Oct 17, 2016 11:43 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Dua atlet memanah, masing-masing dari Kedah dan Terengganu yang gagal ujian doping pada Sukan Malaysia (Sukma), Julai lepas dikenakan hukuman gantung lapan dan enam bulan.

Kedua-dua atlet yang tidak didedahkan nama itu, turut diberi amaran keras selain dilarang mengambil bahagian dalam mana-mana kejohanan sama ada di dalam dan luar negara sepanjang tempoh penggantungan tersebut.

Hukuman Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) yang dipengerusikan Ibrahim Harun bersama enam ahli jawatankuasa persatuan serta seorang wakil Agensi Antidoping Malaysia (Adamas), dianggap ringan seolah-olah NAAM tidak memandang serius kesalahan penggunaan bahan terlarang.

Namun Pemangku Setiausaha Kehormat NAAM, Mejar (B) Amir Suharman Adnan berkata, tempoh hukuman yang singkat itu masih berpandukan kepada Agensi Anti Doping Dunia (WADA), serta telah merujuk kepada kes-kes terdahulu.

"Selain itu, bahan yang digunakan iaitu sibutamin tidak memberi kesan secara langsung kepada prestasi atlet. Hukuman empat tahun itu adalah bagi kesalahan yang dilakukan secara sedar, iaitu mereka tahu ia bahan terlarang dan masih menggunakannya.

"Dalam kes ini atlet mengambilnya tanpa niat dan hukuman yang diperuntukan untuk kesalahan tanpa niat ialah maksimum dua tahun. Ia berlaku kerana kekhilafan dan kekurangan pengalaman atlet yang masih muda," katanya pada sidang media selepas sesi pendengaran di Kuala Lumpur, semalam.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin baru-baru ini menegur hukuman gantung dua tahun kepada Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan yang dijatuhkan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), kerana ia tidak mengikuti peraturan WADA iaitu mandatori empat tahun bagi kesalahan bahan terlarang.

Amir Suharman berkata hukuman itu dijatuhkan selepas mendengar penjelasan bertulis dan lisan daripada wakil dua atlet terbabit, berkuat kuasa dari tarikh sampel diambil iaitu 26 Julai lalu.

Katanya hukuman itu mengambil kira beberapa faktor seperti pengalaman, pendedahan, usia dan pengetahuan atlet yang terlibat dalam kes doping pertama dalam sejarah persatuan tersebut.

"Kedua-dua atlet mengaku bersalah dan tidak mahu mencabar keputusan itu dan mereka juga didapati mengambil bahan terlarang tanpa niat atau pengetahuan mereka. Kami akan menghantar surat rasmi kepada atlet yang terlibat, Majlis Sukan Negara dan Adamas secepat mungkin.

"Atlet juga dibenarkan membuat rayuan...Ia perlu dibuat dalam tempoh dua minggu hingga sebulan dari sekarang. Kami tidak boleh mendedahkan identiti atlet kerana terpaksa menjaga privasi atlet terbabit," katanya.

Tarik pingat?

Mengenai penarikan balik pingat, beliau berkata ia terpulang kepada Jawatankuasa Pengelola Sukma ke-18, sama ada mahu menarik balik pingat yang dimenangi atlet terbabit atau tidak.

Pada 26 Sept lalu, Ketua Unit Adamas, Nishel Kumar mendedahkan empat pemenang pingat Sukma, dua dari sukan memanah, masing masing seorang atlet angkat berat (anabolic steroids) dan tinju (diuretics), gagal ujian doping dalam temasya dari 17-31 Julai lalu.

Sementara itu, penolong pengurus pasukan memanah Kedah ke Sukma, Mohd Asri Ghazali, menerima keputusan itu namun mempersoalkan peranan pihak yang sepatutnya memberi pendedahan mengenai bahan terlarang kepada atlet muda itu.

"Dia merupakan atlet kebangsaan dan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang menyertai kem latihan Sukma selama tiga hari. Jadi, persatuan negeri tidak patut dipersalahkan dalam hal ini, saya rasa pihak di tempat atlet itu belajar dan berlatih patut memainkan peranan dalam hal ini," katanya.

Mohd Zamzaini Zolkeffi yang mewakili pemanah dari Terengganu itu pula berkata, pihaknya belum mengambil keputusan sama ada ingin mengemukakan rayuan atau tidak terhadap penggantungan enam bulan bagi atlet tersebut.

-Bernama

Lihat Komen
ADS