Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Khairy: KBS laksana dua fasa sediakan input awal TN50
Diterbitkan:  Oct 22, 2016 4:37 PM
Dikemaskini: Jul 3, 2017 9:08 AM

Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan dua fasa ke arah menyediakan input awal Transformasi Nasional 2050 atau TN50 sebelum ia diumumkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata fasa pertama akan membabitkan proses konsultasi untuk mendapatkan pandangan anak muda melalui kaedah bersemuka, turun padang dan percambahan idea dalam pelbagai isu.

"Kita tidak akan tapis, kita terima apa jua pandangan walau kritikan kerana kita hendak tahu apakah harapan rakyat Malaysia dalam pelbagai isu melibatkan pendidikan, ekonomi, kesenian, sosial dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Fit Malaysia peringkat negeri di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim di Sungai Petani hari ini yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Dalam pembentangan Bajet 2017 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan melancarkan siri wacana nasional yang dikenali sebagai Transformasi Nasional 2050 yang akan dijenamakan sebagai TN50 selepas Bajet 2017.

Beliau berkata TN50 itu akan menjangkau tiga dekad proses dan gerak kerjanya bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda cemerlang.

Perdana menteri berkata TN50, yang akan dinaunginya, akan dimula gerakan dengan generasi muda pelbagai bangsa melalui wacana-wacana nasional seperti yang diputuskan oleh Kabinet dan akan dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Khairy berkata, fasa pertama itu juga akan turut membabitkan pengumpulan pandangan dan suara anak muda melalui kaedah maya atau digital melibatkan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, sebelum semua pandangan tersebut dikategorikan mengikut bidangnya.

Fasa kedua pula akan membabitkan pengumpulan pandangan dan suara golongan dewasa, sebelum KBS membentangkan keseluruhan input kepada perdana menteri yang akan memperhalusi dan memperincikan TN50 sekaligus mengumumkan inti pati sebenar TN50 dalam satu acara kemuncak nanti.

"Dalam tempoh tiga bulan pertama kita akan dibanjiri pelbagai idea. Ini adalah satu dialog yang mengambil masa satu, dua tahun sebelum 2020 dan kita akan bentangkan hasilnya kepada perdana menteri.

"Kali ini perdana menteri nak libatkan rakyat supaya visi ini ialah visi rakyat yang dicipta oleh rakyat sendiri dan mungkin akan digubal dan diperhalusi oleh PM," katanya.
 

- Bernama

Lihat Komen
ADS