Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
JDT sebaris dengan Arsenal, AC Milan
Diterbitkan:  Oct 24, 2016 2:06 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

Muncul mengungguli Liga Super tahun ini, skuad harimau dari selatan meraikan kejayaan itu dengan lebih membanggakan apabila rekod itu disebariskan dengan kelab terkemuka dunia.

Dalam kemas kini status di Facebook JDT menyatakan kelab itu menyertai pasukan lain yang digeruni dunia kerana menjulang kejuaraan domestik tanpa mencatat kekalahan walaupun sekali.

"Skuad Harimau Selatan juga merupakan pasukan pertama dalam sejarah Liga Super Malaysia berjaya mengharungi keseluruhan musim tanpa tewas," kata kenyataan dimuat naik hari ini.

Selepas mengharungi 22 perlawanan JDT kukuh berada di puncak Liga Super dengan 58 mata hasil daripada 18 kemenangan dan empat kali seri.

Pencapaian itu meletakkan kelab berkenaan 15 mata dari pasukan tempat kedua, Felda United yang memperoleh 43 mata daripada 13 kemenangan, empat kali seri dan lima kali kalah.

Tempat ketiga menjadi milik Kedah yang mengumpul 40 mata.

Pencapaian itu dianggap menyamai rekod pernah dicatat Arsenal dalam saingan liga perdana Inggeris bagi musim 2003 - 2004.

Dilabel dengan gelaran The Invincibles skuad bimbingan Arsene Wenger itu mencatat 26 kemenangan dan 12 keputusan seri daripada 38 perlawanan liga.

Arsenal ketika itu dibarisi pemain legenda seperti Thierry Henry, Dennis Bergkamp, Robert Pires, Patrick Vieira dan Sol Campbell.

Satu lagi kelab yang disamakan dengan JDT ialah gergasi dari Itali, AC Milan.

Mencatat rekod tanpa kalah pada musim 1991 - 1992 AC Milan - yang dibarisi pemain terkemuka seperti Marco Van Basten, Ruud Gullit dan Frank Rijkaard melalui 34 perlawanan dengan 22 kemeangan dan 12 seri.

Ketika itu kelab berkenaan dikendalikan Fabio Capello.

Satu lagi kelab yang berjaya mengharungi keseluruhan musim tanpa kalah ialah Porto FC dari Portugal.

Dikemudi oleh Andre Villas-Boas Porto FC mencatat 27 kemenangan dan hanya seri tiga kali sepanjang 30 perlawanan keseluruhan pada musim 2010 - 2011.

Dapat kasut emas

Villas-Boas turut membawa kelabnya itu mengungguli kejuaraan Liga Europa. Jentera pemusnah utama Porto ketika itu ialah Hulk dan Radamel Falcao.

Porto mengulangi kejayaan berkenaan pada musim 2011 - 2012.

Turut berada dalam kelompok elit itu ialah satu lagi kelab Itali, Juventus.

Di tangan Antonio Conte kelab berkenaan mencatat 23 kemenangan dan 15 seri bagi musim 2011 - 2012.

Bersama pemain seperti Gianluigi Buffon, Andre Barzagli dan Giorgio Chiellini, Conte membantu Juventus menjulang kejuaraan Serie A untuk kali pertama sejak 2006.

Turut tersenarai sebagai kelab yang menamatkan saingan musim tanpa kekalahan walaupun sekali ialah kelab Arab Saudi, Al-Hilal FC.

Untuk makluman JDT adalah juara Piala AFC pada musim lalu selepas mereka menundukkan wakil dari Tajikistan, FC Istiklol 1-0 hasil jaringan Leandro Velazquez di minit ke-23.

Bagaimanapun untuk musim ini laluan JDT mempertahankan kejuaraan itu tidak kesampaian apabila mereka tumpas kepada Bengaluru FC , 1-3 di Bangalore.

Secara agregat JDT tertinggal 2-4 kepada kelab kelab dari India itu apabila perlawanan pusingan pertama di Johor Bahru menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Sementara itu kejayaan pemain mereka, Jorge Pereyra Diaz, menjadi penjaring terbanyak tentu dapat menebalkan lagi rasa bangga JDT pada musim ini.

Diaz mencatatkan 18 jaringan, dua gol di depan pesaing terdekatnya - Juan Martin Lucero - untuk memenangi anugerah Kasut Emas.

"Sebagaimana diketahui, Diaz juga merupakan penjaring terbanyak Piala FA 2016 dan ini jelas membuktikan bahawa beliau sememangnya layak digelar Mesin Gol JDT," kata kelab itu.

Lihat Komen
ADS