Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Lumba F1 tetap dianjurkan tahun depan, kata SIC
Diterbitkan:  Oct 25, 2016 7:38 PM
Dikemaskini: 11:53 AM

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyangkal dakwaan bahawa perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia akan ditamatkan dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Razlan Razali berkata tindakan menghentikan penganjuran perlumbaan tidak semudah itu berikutan SIC masih mempunyai kontrak penganjuran F1 dengan Formula One Management (FOM) sehingga 2018.

"Ia melibatkan isu perundangan jika SIC melanggar perjanjian yang telah dimeterai pada tahun lepas," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, SIC kini sedang menyemak semula penganjuran F1 Grand Prix Malaysia dan sebarang keputusan akan ditentukan selepas kontrak tamat dengan FOM.

Katanya, perlumbaan tahun depan akan tetap diteruskan.

Malaysia menjadi hos perlumbaan berprestij itu sejak 1999.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya Malaysia menghentikan penganjuran perlumbaan F1 untuk sementara waktu kerana kos penganjuran yang tinggi.

Sementara itu, penaja utama F1 Grand Prix Malaysia, Petronas, akan meneliti keputusan SIC dengan FOM berkenaan isu penamatan penganjuran di Malaysia.

Pengurus Besar Pengurusan Jenama, Kumpulan Komunikasi Strategik Petronas, Rizan Ismail berkata ketika ini pihaknya tidak menerima sebarang kenyataan daripada FOM atau SIC.

"Kami sudah pasti akan mendengar apa yang diputuskan kerana kontrak Petronas adalah dengan FOM...jadi terpulang kepada SIC dan FOM untuk memutuskan.

"Sebaik sahaja ada keputusan, saya pasti kami akan dimaklumkan dan kami akan menyemak semula dan mengambil tindakan seterusnya," katanya pada sidang media mengenai Program Pembangunan Bakat Petronas di Petaling Jaya, hari ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS