Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Qu Puteh sah enggan taja Kelantan lagi
Diterbitkan:  Oct 26, 2016 11:03 PM
Dikemaskini: 3:14 PM

Penaja utama bola sepak Kelantan Vida Beauty Sdn Bhd disahkan tidak lagi menaja skuad The Red Warriors (TRW) pada musim depan.

Perkara itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa melalui kenyataan di Facebooknya, malam ini.

"Penaja utama Pamoga Qu Puteh telah memaklumkan hasrat untuk tidak menaja pasukan Kelantan Musim depan (2017). Walaupun mengikut perjanjian tajaan mereka adalah sehingga 2017.

"Saya memahami hasrat mereka dan akan bawa isu ini ke Majlis Kafa. Kita akan mencari jalan keluar yang terbaik dengan mengambil kira semua faktor serta menjaga hubungan baik jangka panjang dengan semua pihak," katanya.

Terdahulu, syarikat kosmetik Datuk Seri Hasmiza Othman dilaporkan tidak mahu meneruskan tajaan kepada pasukan Kelantan selepas kecewa dengan prestasi hambar TRW.

Pengasas produk Qu Puteh yang lebih dikenali sebagai Vida itu menyifatkan keputusan itu dibuat selepas pelaburannya tidak menampakkan hasil.

Sementara itu, prestasi pasukan Kelantan pada musim ini dilihat tidak terlalu teruk malah berjaya berada di kedudukan keempat dalam saingan Liga Super.

Annuar berkata, keengganan Hasmiza meneruskan tajaan Kelantan itu akan menambah kesulitan dan memberi ujian kepada pengurusan Kafa.

"Walaupun ini akan menambah kesulitan Kafa, namun seperti biasa setiap musim pengurusan Kafa sentiasa diuji pelbagai kepayahan yang biasanya tidak difahami pihak luar.

"Namun dengan izin Allah, kita sentiasa dapat atasi cabaran berkat keikhlasan dan kejujuran bekerja secara sukarela menjaga bola sepak Kelantan," ujarnya.

Tambah beliau, Kafa bagaimanapun tidak akan mudah berputus asa menjaga bola sepak negeri itu.

"Tugas bola Kelantan tak siapa mahu mengambil tanggungjawab ini, bakal kita pikul sehingga ada pihak yang bersedia ambil alihnya.

Insya-Allah, musim 2017 TRW bakal berwajah baru" jelasnya.

Vida Beauty sebelum ini menjadi penaja utama Kelantan pada awal musim 2016 dengan mengikat perjanjian bernilai RM16 juta bagi tempoh dua musim sehingga 2017.
 

Lihat Komen
ADS