Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
TMJ dakwa FAM mahu selamatkan PDRM, bantu Pahang
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 7:49 PM
Dikemaskini: 12:15 PM

Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu mengenakan tindakan tatatertib kepada pasukan itu bagi menyelamatkan pasukan PDRM dan membantu pasukan Pahang dalam Liga Super.

Menulis di Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail berkata JDT tidak dimaklumkan bahawa pemain importnya, Juan Martin Lucero tidak boleh bermain kerana digantung perlawanan ketika bertemu pasukan PDRM, 16 Ogos lalu.

"Komisioner perlawanan sepatutnya harus lebih tahu sebelum perlawanan mengenai pemain mana yang boleh bermain, dan pemain mana yang tidak.

"Tetapi sewaktu pasukan menghadiri mesyuarat bersama komisioner perlawanan, tidak pula dinyatakan kepada kami bahawa Lucero digantung. Tiada sebarang surat rasmi atau sebarang surat hitam putih yang kami terima daripada Jabatan Perundangan FAM," ujarnya.

Menurut Tunku Ismail, statut FAM menyatakan protes tidak boleh dilakukan 72 jam selepas perlawanan.

Bagaimanapun, katanya, FAM mengumumkan Pahang diberi kemenangan percuma 3-0 dalam perlawanan pada 3 Ogos lalu selepas Kedah didapati menurunkan pemain yang tidak layak, Mohd Rizal Mohd Ghazali.

"Kenapa pula Jawatankuasa Tatatertib FAM memanggil sidang mesyuarat dan memutuskan iaitu Pahang mendapat tiga (3) mata percuma selepas dua bulan?," soalnya.

Menantu Zahid ada 'kepentingan'

Menurutnya ahli jawatankuasa tatatertib FAM kali ini memutuskan tiga mata percuma kepada PDRM disebabkan menantu timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kepentingan dalam pasukan itu.

"Ia disebabkan kerana ada kepentingan berkaitan menantu Datuk Zahid Hamidi iaitu bernama Hisham (Dalam PDRM).

"Jadi sekarang ini oleh kerana hendak membantu rakan iaitu pasukan Pahang dan PDRM, yang lain pula terpaksa jadi mangsa. Terengganu jadi mangsa, Pulau Pinang jadi mangsa dan sekarang ini hendak menjadikan JDT mangsa terbaru.

"Jika diikutkan saya tidak perlu ambil peduli, tiga mata ditarik pun kami tetap juara tetapi perkara ini tidak adil kerana saya kasihankan pasukan-pasukan lain.

"Ini disebabkan ada orang lain dalam FAM dan FMLLP yang hendak membantu rakan mereka," kata TMJ.

Tak suka pasukan P Pinang

Pada masa sama, katanya, 'barisan exco dan orang dalam FAM' juga tidak menyukai pasukan Pulau Pinang berada dalam Liga Super.

Ini kerana katanya, pasukan itu diuruskan Datuk Gary Nair yang pernah memusuhi FAM kerana membantah polisi Sultan Pahang ketika menjadi presiden kelab induk bola sepak itu.

"Oleh itu, FAM pada masa ini hendak menurunkan Pulau Pinang (dari liga) kerana hendak menyelamatkan pasukan yang penting bagi mereka dan FMLLP," ujarnya.

Pada masa ini, Pahang berada di tangga kedua terakhir manakala PDRM berada di tempat ketiga terakhir dengan masing-masing mengutip 21 mata.

Semalam, Bernama melaporkan Pulau Pinang yang mengutip 22 mata akan tersingkir ke saingan Liga Perdana 2017 sekiranya FMLLP meluluskan bantahan yang dikemukakan pasukan PDRM.

Laporan itu menyatakan PDRM menghantar surat bantahan kepada FMLLP selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan JDT menurunkan Lucero yang sepatutnya digantung.

Bagaimanapun FMLLP hari ini menjelaskan badan itu tidak mempunyai kuasa mengenakan tindakan sebaliknya hanya Jawatankuasa Tatatertib FAM mempunyai kuasa berbuat demikian.

Lihat Komen
ADS