Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
MOM: Myanmar dialu-alukan pada Sukan SEA 2017
Diterbitkan:  Dec 4, 2016 11:58 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak akan menghalang penyertaan Myanmar pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur meskipun negara berkenaan sedang menghadapi kemelut politik berikutan penindasan tentera mereka terhadap etnik Rohingya.

Presiden MOM Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar berkata walau apa jua masalah yang melibatkan politik, agama dan bangsa dihadapi sesebuah negara, ia tidak sepatutnya menjadikan sukan sebagai mangsa.

"Saya berpendapat kita tidak seharusnya mencampuradukkan politik dan sukan kerana jika kita berbuat demikian sampai bila ia akan berakhir?.

"Sukan adalah permainan di mana kita meninggalkan segala yang berkaitan politik, agama dan bangsa di belakang. Jika kita membiarkan elemen-elemen tersebut berada dalam sukan, maka sukan itu sendiri akan mati," katanya.

Tunku Imran berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Eksekutif MOM ke-180 di Wisma OCM, di Kuala Lumpur semalam.

Dalam perkembangan lain, Tunku Imran menasihati persatuan sukan supaya tidak terlalu bergantung kepada peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapatkan dana sebaliknya perlu mencari jalan bagi menangani masalah itu.

"Kita sedia maklum dana daripada kerajaan ketika ini amat terhad kerana terpaksa menampung bukan hanya satu sukan malah berpuluh-puluh sukan lain, jadi persatuan sendiri perlu kreatif dalam usaha menjana dana sendiri.

"Sebagai contoh, persatuan sukan boleh meminta pemain atau ahli menyumbang RM10 setahun, jika terdapat 200,000 ahli, persatuan sudah berjaya mengutip RM2 juta untuk dijadikan sebagai dana persatuan," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS