Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Tony Fernandes belum sedia jadi presiden FAM
Diterbitkan:  Dec 7, 2016 5:58 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad Tan Sri Tony Fernandes belum bersedia memegang jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan mengakui kurangnya pengalaman dalam bola sepak tempatan menghalangnya berbuat demikain.

Ketika ditemui selepas sidang media bagi mengumumkan penjenamaan semula kelabnya AirAsia FC kepada Petaling Jaya Rangers, Fernandes menjelaskan beliau perlu memberikan sumbangan untuk bola sepak Malaysia terlebih dahulu.

"Saya tak fikir saya layak jadi presiden FAM. Saya rasa saya perlu lakukan sesuatu dalam bola sepak tempatan terlebih dahulu. Jika kita bina sesuatu yang istimewa dengan PJ Rangers, maka itu mungkin.

"Tapi sekarang saya belum arif mengenai bola sepak tampatan dan saya tak fikir adalah tepat bagi saya untuk jadi presiden FAM sekarang," katanya.

Fernandes yang juga pemilik Kelab Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers juga berharap tokoh yang memegang jawatan itu merupakan seorang yang berpengalaman mengenai bola sepak Malaysia.

"Saya berharap Presiden FAM adalah seseorang yang telah menyumbang kepada bola sepak, bukan mereka yang bidan terjun. Ia mestilah seseorang yang yang benar-benar memahami dan membangunkan bola sepak. Pemain Malaysia adalah sebaik pemain lain. Kita memiliki pasukan U16 yang menewaskan Manchester United.

"Kita mempunyai pemain yang cukup baik," katanya seperti dilapor portal bola sepak Goal.com.

Tony berkata, presiden FAM perlu mahir mengenai pentadbiran dan pembangunan bola sepak serta memberikan komitmen sepenuh masa demi kebaikan sukan itu.

Kongres FAM akan datang dijangka diadakan pada bulan Mac 2017, dengan beberapa nama dikhabarkan akan bertanding merebut jawatan presiden.

Lihat Komen
ADS