Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan bekas pemain Selangor hari ini menggesa Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyelesaikan segera kemelut melanda bola sepak negeri itu.

Nazzab Hidzan berkata, Azmin perlu memberikan komitmen dan kerjasama kepada Exco FAS dalam menentukan hala tuju skuad The Red Giants.

‎"Apa yang berlaku antara FAS dan PKNS FC amat membimbangkan. Ini kerana kita perlukan satu sama lain‎.

‎"Kita bukan mahu cari siapa salah, harap presiden FAS boleh selesaikan perkara ini. Keadaan pemain (Selangor) dalam keadaan terumbang-ambing dibimbangi memberi kesan tidak baik kepada bola sepak Selangor," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Terdahulu, kemelut dalaman FAS tercetus selepas Azmin dilapor tidak menyalurkan sebarang dana kepada persatuan itu.

‎Berbeza daripada tahun lalu, Belanjawan Selangor 2017 yang dibentangkan menteri besar itu pada 30 Oktober lalu tidak menyediakan peruntukan kepada pembangunan bola sepak negeri.

Difahamkan ia susulan cadangan penswastaan pasukan Selangor‎ serta penggabungan PKNS FC pada musim depan.

Bagaimanapun perkara itu tidak dipersetujui PKNS FC yang bertindak menyertai Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor sebagai persatuan gabungan.

Sebelum ini, beberapa mesyuarat FAS diadakan tetapi Azmin tidak memberi komitmen untuk menghadirkan diri.

Nazzab berkata, Azmin perlu menyarung baju sebagai presiden FAS dan memberi komitmen segera membantu persatuan bola sepak itu.

"Ini kerana barisan exco telah beri kerjasama yang baik dan perlu berjumpa dengan baik untuk menyelesaikan masalah.

"Kami dan seluruh rakyat Selangor sangat sayangkan bola sepak dan prestasi pasukan Selangor telah mencipta pelbagai sejarah," jelasnya.

Sementara itu, ‎Presiden Kelab Bola Sepak Frenz United Roslin Shariff berkata, Mohamed Azmin telah dipilih sebulat suara oleh ahli gabungan FAS sebagai presiden.

Justeru itu katanya, semua pihak berharap menteri besar tampil menyelamatkan pasukan Selangor dan dapat bersaingan dalam liga Malaysia 2017.

Lihat Komen
ADS