Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Majlis Sukan Negara (MSN) melancarkan laman web khusus untuk perkembangan semasa atlet program 'Kita Juara' yang dipersiapkan menghadapi Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur dari 19 hingga 31 Ogos tahun depan.

Pemangku Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata kandungan berita terkini, profil atlet dan semua persiapan berkaitan program Kita Juara akan dimuat naik ke dalam laman web www.kitajuara.nsc.gov.my.

"Memandangkan program Kita Juara sudah pun memasuki fasa kedua, kami percaya laman web khusus untuk atlet bernaung di bawah program ini bukan sahaja dapat mempromosi aktiviti dan perkembangan terkini atlet bahkan menjadi sumber rujukan peminat dan media massa serta masyarakat secara umum," katanya dalam kenyataan hari ini.

Program Kita Juara dilancarkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada September 2015, kini memasuki fasa kedua yang memberi ruang kepada atlet dari 38 sukan bertanding di pentas antarabangsa.

Fasa pertama membabitkan 772 atlet, namun MSN menambah senarai atlet selepas memuktamadkan disiplin dan sukan yang bakal dipertandingkan.

Fasa kedua akan berakhir pada Mac 2017 sebelum fasa terakhir bermula pada April yang membuka ruang kepada kelompok terbaik mengintai tempat dalam kontinjen muktamad pada temasya dwitahunan itu.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA ialah pada 2001 dan muncul juara keseluruhan apabila kontinjen negara meraih 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS