Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan

Pemimpin kontroversi Umno Datuk Seri Jamal Md Yunos berikrar membawa pasukan Selangor setanding dengan Johor Darul Takzim (JDT) jika dilantik sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Ikrar itu dinyatakan dalam sidang media di hadapan bangunan Yayasan FAS, Kelana Jaya selepas menyerahkan surat menawarkan diri ke jawatan itu hari ini.

"Kalau nak disebutkan kelab JDT ini lebih maju ke hadapan, sekurang-kurangnya kami mampu bersaing dengan mereka," kata Jamal.

Terdahulu Jamal bermuka celoreng bendera Selangor bersama penyokongnya hadir ke pejabat FAS untuk menyerahkan surat itu bersama anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Shohaimi Shadan dan exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Surat tawaran tersebut diserahkan kepada Exco FAS, Adnan Sarrif.

Selain itu, Jamal juga turut berjanji akan menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai selepas 14 hari jika dilantik menjadi presiden.

"Saya memberi jaminan dalam masa 14 hari setelah perbincangan diadakan dan saya dilantik, kita akan selesaikan semua permasalahan ini manakala soal dana saya letak nombor dua,” katanya.

Pada 30 Disember lalu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali meletak jawatan sebagai presiden FAS kerana membantah budaya “politik berlebih-lebihan, melakukan kerja cara lama dan mentaliti bergantung kepada subsidi”.

Sementara itu, Jamal ketika ditanya sama ada beliau akan membeli pemenang Anugerah Puskas Fifa 2016 Faiz Subri untuk kelab pasukan Selangor ini jawab Jamal:

"Saya akan cari pelapis-pelapis baru dari kalangan belia di negeri Selangor kerana ramai lagi yang bagus. Kita akan cari 10 ke 15 lagi pelapis," kata Jamal.

Faiz mencipta sejarah baru sukan bola sepak Malaysia pada Anugerah Bola Sepak FIFA 2016 di Zurich, awal pagi tadi.

Sepakan pemain Pulau Pinang itu diundi sebagai jaringan terbaik dunia yang dihasilkan sepanjang tahun lalu di arena bola sepak profesional.

Lihat Komen
ADS