Paling Popular
Terkini
story images
story images

Walaupun tidak secara rasmi, Selangor seperti memberi bayangan bahawa pasukan bola sepak PKNS FC kini wakil utama negeri itu selepas kemelut Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) terus berlarutan.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor, Amirudin Shari, hari ini menjelaskan skuad PKNS FC mempunyai ciri yang lengkap untuk membawa cabaran negeri berkenaan.

Menurutnya, apa yang ada pada pasukan itu kini mendorong kerajaan negeri memberi sokongan penuh dalam pembangunan sukan bola sepak Selangor.

"PKNS FC adalah pasukan yang hampir lengkap - daripada skuad Liga Super hingga peringkat akademi.

"Kita ada skuad lengkap sebagai kelab bola sepak. Sesuai untuk kerajaan Selangor memberi sokongan.

"Ini pasukan negeri Selangor, wakil Selangor kalau masuk (pertandingan) pun guna bendera negeri Selangor. Tak ada masalah," tegasnya ketika ditanya komitmen kerajaan kepada pasukan itu berbanding pasukan Selangor di bawah FAS.

Sebelum ini FAS dibelenggu kemelut selepas wujud ketidaksefahaman antara bekas presidennya Datuk Seri Azmin Ali dengan barisan exco persatuan itu.

Azmin yang juga menteri besar tidak menyalurkan peruntukan untuk FAS seperti tahun-tahun lalu bagi sebagai persediaan skuad Selangor menghadapi liga Malaysia 2017.

Tindakan Azmin meletak jawatan dalam FAS dilihat kemuncak kebuntuan pengurusan skuad The Red Giants untuk mencari dana walaupun persatuan itu memiliki dana sedia ada, termasuk hasil penjualan pemain.

Bagaimanapun Amirudin berkata, kerajaan negeri sentiasa membuka pintu kepada FAS untuk berbincang mengenai masalah berkenaan.

"FAS kalau berminat kena datang berbincang dengan kitalah," katanya kepada media ketika hadir majlis Pelancaran Jersi 2017 dan Bas PKNS FC di Shah Alam, hari ini.

Mengulas isu tunggakan gaji pemain dan bekas jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan, Amirudi berkata, kerajaan negeri tetap berpandangan FAS mempunyai peruntukan mencukupi selepas mereka menjual pemain.

"Namun dalam isu Zainal, disebabkan ada kontrak setahun lagi, saya akan minta ihsan menteri besar.

"Isunya sekarang mereka (pemain) harus selesaikan dengan FAS. FAS tunjuk mereka tak ada kantung (dana), mereka tunjukkan tak cukup, (oleh sebab itu) mereka kena jumpa kerajaan negerilah untuk memohon.

"Tetapi dengan persiapan beli pemain baru, pemain import, boleh pula.

"Jadi saranan kerajaan negeri supaya mereka selesaikan dulu hutang sebelum selesaikan perkara lain adalah tepat," katanya.

Lihat Komen
ADS