Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pahang kekal berkecuali calonkan presiden FAM

Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) kekal dengan keputusan tidak mencalonkan sesiapa untuk jawatan Presiden FAM pada pemilihan jawatankuasa badan induk itu bagi penggal 2017-2021 pada 25 Mac ini.

Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata ketetapan itu diputuskan bagi mengelak tanggapan bahawa calon dinamakan persatuan berkenaan adalah proksi kepada Presiden FAM sekarang iaitu Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

"Kita tidak mahu dituduh bahawa siapa yang dicalonkan (oleh PBNP) dianggap proksi presiden. Pendirian ini yang terbaik dan rasional bagi mengelak timbul isu memandangkan jawatan berkenaan disandang kekanda saya.

"Untuk itu, kita serahkan kepada ahli gabungan yang lain (menentukan calon presiden) dan kita kekal berkecuali," katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan jersi baharu Pahang FA di Kuantan hari ini.

Turut hadir, jurulatih Pahang Dollah Salleh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Tengku Abdul Rahman bagaimanapun menjelaskan, keputusan berkecuali itu hanya melibatkan jawatan Presiden FAM.

"Kita akan mengemukakan nama calon untuk jawatan lain yang dipertandingkan dalam pemilihan jawatankuasa FAM, namun siapa calonnya hanya akan ditentukan kemudian," katanya.

Pada 7 November lepas, Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah mengumumkan pencalonan bagi jawatankuasa baharu FAM perlu dikemukakan selewat-lewatnya 23 Januari sebelum senarai akhir pencalonan disahkan pada 20 Februari.

Pemilihan akan dilakukan pada 25 Mac sempena kongres tahunan ke-53 badan induk bola sepak negara itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS