Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Kejayaan mengorak langkah ke Liga Super memberi makna besar kepada pasukan bertaraf kelab, PKNS FC. Selain berazam menjadi pencabar utama, pasukan itu juga mahu membawa nama Selangor yang besar itu.

Malah, ketika pasukan itu memperkenalkan jersi baru di Shah Alam hari ini, pemilihan pengurusan kelab berkenaan juga menunjukkan signifikan tersendiri.

Memang warna jersi PKNS FC di gelanggang sendiri kekal oren, namun untuk pertarungan di tempat lawan warna dipilih ialah merah kuning - sama seperti bendera Selangor.

Warna itu sebelum ini sinonim dengan pasukan Selangor di bawah Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Pada musim lalu, jersi kedua bagi skuad The Red Ants itu menggunakan kombinasi warna biru dan putih.

PKNS FC kali ini dilihat tampil dengan isyarat 'serba baru' selepas kejayaan naik ke liga utama - jersi baru, 14 pemain baru dan sasaran pastinya juga baru.

Naib juara Liga Perdana 2016 itu juga menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala untuk dijulang, selain mahu berada di kelompok lima terbaik Liga Super 2017. Itulah yang ditegaskan presidennya, Siti Zubaidah Abdul Jabar.

Menurut Siti Zubaidah, peruntukan kira-kira RM18 juta setahun dilabur untuk menampung perbelanjaan sembilan pasukan PKNS FC, termasuk bagi skuad Liga Super, Piala Belia (bawah 19 tahun), Piala Presiden (bawah 21) dan skuad Liga FAS.

"Peruntukan tahun ini meningkat sedikit berbanding tahun lalu selepas kami naik ke Liga Super, tapi kami mengamalkan perbelanjaan berhemah selain mengharapkan pulangan pelaburan.

"Insya-Allah kami mampu mencapai sasaran tersebut. Pada tahun lepas, kita mempunyai bajet paling rendah namun dengan semangat kerja berpasukan kita memperolehi keputusan positif," katanya ketika ditemui media pada majlis berkenaan.

Sementara itu pengendali PKNS FC, E Elavarasan, menyedari tugas berat dipikulnya dengan sasaran yang diletakkan pihak pengurusan.

"Saya rasa musim ini mencabar untuk kami sebab saya tengok KPI (indeks prestasi utama) kami pun untuk berada di kedudukan lima terbaik, selain memenangi satu piala.

"Bukan senang sebab apabila dilihat dalam Liga Super ini pasukan yang sudah lama pun semua nak jadi juara, naib juara. Itu satu KPI yang akan diberikan kepada jurulatih kalau beraksi dalam Liga Super.

"Untuk kami, bagi musim pertama KPI itu memang tinggi, tetapi kami akan cuba. Pemain pun tahu, bila ada KPI mereka akan berusaha untuk mendapatkan yang terbaik," katanya yang menganggap itu bukan satu tekanan.

Lihat Komen
ADS