Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penghijrahan Safee Sali ke kelab PKNS FC dilihat menjadi sandaran besar untuk digalasnya, sekali gus bakal memberi tekanan kepada penyerang kebangsaan itu bagi membantu skuad The Red Ants.

Namun, pemain berjersi nombor 10 itu menganggap tekanan yang akan dihadapinya sebagai satu cabaran bersama pasukan baru.

"Saya sukakan tekanan, apabila berada dalam tekanan saya akan buat lebih baik. Jadi saya rasa tekanan itu bagus untuk pasukan supaya kami boleh menunjukkan kekuatan pada tahap sebenar.

"Kalau tak ada tekanan kita akan sambil lewa, saya rasa itu petanda yang bagus untuk pasukan PKNS FC," katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Jersi dan Bas PKNS FC di Shah Alam, semalam.

Pemain berusia 32 tahun berharap dapat bekerjasama dengan rakan-rakan lain demi kejayaan PKNS FC.

"Dalam permainan bola sepak kita bermain sebagai satu pasukan, nama pun pasukan jadi saya tak bermain sendiri.

"Jadi saya harapkan semua bekerja keras untuk pasukan PKNS bukan saya saja tetapi pemain lain juga perlu memikul tanggungjawab sama untuk menaikan nama pasukan," jelasnya.

Mahu kekal dengan PKNS

Ditanya mengapa PKNS FC menjadi pilihan kesinambungan kariernya, Safee berkata, pasukan itu dilihat lebih stabil berbanding pasukan lain di Selangor.

"Saya rasa PKNS FC mempunyai infrastruktur yang bagus daripada dulu. Dalam keadaan sekarang PKNS satu pasukan yang stabil dan kukuh dari segala aspek dibandingkan dengan pasukan lain berdekatan dengan Selangor.

"Saya rasa memilih pasukan yang tepat untuk bermain musim ini dan sudah tentu saya sekarang amat gembira dengan pengurusan, kakitangan PKNS yang ada bersama pasukan.

"InsyaAllah kalau musim ini berakhir dengan baik tidak mustahil saya akan kekal di sini," kata anak kelahiran Kajang, Selangor itu.

Sebelum menyertai JDT, Safee berkenalan ke negara Jiran apabila disunting pasukan Pelita Jaya sebelum berkhidmat dengan Arema Indonesia.

Menurutnya, dengan pengalaman selama tiga musim bersama skuad Harimau Selatan juga akan dikongsi dengan rakan-rakan di PKNS FC yang baru melangkah ke saingan Liga Super 2017.

"Sedikit demi sedikit pengalaman itu saya cuba curahkan dengan pemain yang lain mengikut situasi. Banyak pengalaman saya ingin kongsikan dengan bukan saja pemain PKNS, malah dengan semua pemain di Malaysia.

"Sekarang saya seronok dengan pasukan baru dan akan cuba melangkah dengan lebih ke hadapan serta lebih berjaya berbanding sebelum ini," ujarnya yang juga bekas pemain Selangor pada 2006 hingga 2011.

Lihat Komen
ADS