Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Seribu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga, Bandar Baru Bangi hari ini, bermuafakat menghantar poskad dengan
mesej penuh ilham kepada pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri.

Pelajar tingkatan tiga hingga lima itu membawa poskad masing-masing,
kebanyakannya buatan sendiri, dan membeli setem daripada wakil Pos Malaysia Berhad yang berada di sekolah, sebelum mengirim poskad yang dialamatkan kepada Mohd Faiz Subri, Penang FA, No 9, Jalan Scotland, 10450 Pulau Pinang.

Program sehari 'Kepada Faiz Subri dengan Ingatan Mesra, Terima Kasih Encik Posman' itu dianjurkan oleh Panel Bahasa Inggeris dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah, bertujuan meningkatkan kemahiran menulis dan bahasa Inggeris pelajar, selain mendedahkan mereka kepada perkhidmatan pos, poskad dan Pos Malaysia.

Guru bahasa Inggeris Nurul Azilah Mohd Saad, 47, berkata idea menganjurkan program itu tercetus selepas beliau mendapati sebahagian pelajarnya tidak tahu tentang poskad.

"Ini satu program yang bagus untuk pelajar yang merupakan anak-anak era Internet dan tidak tahu langsung bagaimana hendak menggunakan perkhidmatan pos," katany.

Mohd Faiz, pemain Pulau Pinang, menjadi tumpuan global menerusi gol luar biasa beliau yang terhasil daripada sepakan percuma semasa perlawanan menentang Pahang dalam aksi Liga Super pada Februari tahun lalu.

Pemain kelahiran Kedah itu juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama memenangi anugerah yang dinamakan sempena legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas.

Antara mesej yang dihantar kepada Mohd Faiz termasuk harapan agar pemain itu terus menghasilkan gol luar biasa dalam perlawanan akan datang. -Bernama

Lihat Komen
ADS