Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
JDT ucap selamat jalan kepada Gomez
Diterbitkan:  Jan 18, 2017 6:26 PM
Dikemaskini: 11:13 AM

Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) hari ini mengumumkan pengurus dan ketua jurulatihnya Mario Gomez telah meninggalkan pasukan itu.

Perkara itu diumumkan Presiden JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim di laman Facebook Johor Southern Tigers petang tadi.

"Saya ingin membuat satu pengumuman bahawa Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim dan Mario Gomez telah bersetuju untuk membawa haluan masing-masing.

"Keputusan ini dibuat demi kebaikan kelab kerana falsafah dan matlamat kelab lebih penting dari segala-galanya. Walaubagaimanapun saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada jurulatih legenda JDT di atas sumbangan besar beliau kepada kelab ini sepanjang tempoh perkhidmatan beliau," kata Tunku Tun Aminah.

Menurutnya, pasukan itu akan sentiasa mengingati pencapaian Gomez yang telah berjaya membawa JDT menjuarai Piala Sumbangsih pada 2016, Piala FA (2016), dua kejuaraan liga (2015 dan 2016) dan Piala AFC (2015).

"Selamat maju jaya buat beliau dalam karier kejurulatihan pada masa akan datang," katanya.

JDT bagaimanapun tidak mengumumkan pengganti Gomez menerusi Facebook berkenaan.

Pasukan itu sebelum ini dilaor telah melengkapkan kuota empat pemain import apabila mengikat pemain keempat dari Argentina, yang dikenali sebagai 'Apache Assassin' bagi menggantikan tempat Juan Martin Lucero dari Argentina.

Skuad Harimau Selatan itu melepaskan rakan senegara Lucero, Jorge Pereyra Diaz kerana pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super 2016 itu dilaporkan meminta gaji yang tinggi.

 

 

 

Lihat Komen
ADS