Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Mora ganti Gomez
Diterbitkan:  Jan 18, 2017 10:29 PM
Dikemaskini: 3:01 PM

Bekas jurulatih pasukan JDT II, Benjamin Mora dipilih sebagai pengendali baru kelab JDT untuk mengharungi cabaran liga Malaysia musim ini.

Nama Mora dipetik Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards, malam ini.

Bagaimanapun kenyataan dimuat naik di akaun Facebook rasmi kelab berkenaan tidak menyatakan secara jelas pelantikan Mora menggantikan Gomez, namun status yang baru dikemas kini itu menunjukkan jurulatih kelahiran Mexico itu bersalaman dengan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut Edwards JDT melaksanakan pelan jangka panjang yang sentiasa mementingkan aspek pendidikan dan pembangunan, selain memberi peluang kepada semua pihak yang menjadi keluarga kelab berkenaan.

JDT II pula, katanya, bukan saja memberi tumpuan untuk membangunkan bakat pemain muda tetapi turut memberi perhatian kepada jurulatih.

"Benjamin Mora membuktikan keupayaan beliau dengan bajet yang rendah untuk membantu JDT II bermain mengikut falsafah JDT.

"Benjamin juga telah dihantar berlatih di Atletico Madrid selama sebulan sewaktu off season sebagai sebahagian daripada pembangunan profesional dirinya untuk persediaan mengambil tugasan ini.

"Visi dan falsafah kelab adalah amat penting di dalam apa saja yang kita lakukan di JDT dan keputusan untuk Mario Gomez dan kelab membawa haluan masing-masing dilakukan demi visi dan falsafah yang mendorong kelab untuk menuju ke hadapan," katanya.

Sementara itu Gomez meluangkan masa berjumpa dengan semua pemain JDT sebelum latihan rasmi dimulakan hari ini.

Kemas kini status Facebook JDT menunjukkan jurulatih dari Argentina itu bersalaman dengan bekas anak didiknya.

Sewaktu bersama JDT, Gomez turut dilantik sebagai pengurus pasukan berkenaan.

Dalam pertemuan itu Gomez sempat meninggalkan pesan supaya semua pemain memberikan yang terbaik kepada kelab mereka.

Setakat ini tiada sebab dinyatakan mengapa JDT dan Gomez mengambil keputusan membawa haluan sendiri.

Pengumuman berkenaan dibuat menjelang perlawanan pembukaan Liga Super yang mempertemukan JDT dengan pemenang Piala Malaysia 2016, Kedah, bagi Piala Sumbangsih Jumaat ini.

Gomez memulakan tugas di JDT sejak April 2015 apabila berlaku kekosongan yang ditinggalkan Bojan Hodak.

Di bawah Gomez, JDT bukan saja menjuarai Liga Super, malah menjulang Piala AFC dengan mengalahkan kelab Tajikistan, FC Istiklol pada 2015.

Facebook JDT sebelum ini menyatakan, Mora memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan.

Sebelum berkhidmat di Johor, Mora pernah menjadi jurulatih kelab Cafetaleros, Guerreros, Gallos Blancos dan Atlante di Mexico.

Lihat Komen
ADS