Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Skuad hoki negara tiada pilihan selain menjinakkan pasukan pilihan, Itali di separuh akhir Liga Hoki Wanita Dunia (WHWL) pusingan kedua esok, bagi memastikan tiket ke pusingan seterusnya liga itu.

Kemenangan ke atas pasukan nombor 15 dunia itu penting untuk merebut tiket ke Pusingan Separuh Akhir yang juga merupakan pentas kelayakan terakhir untuk ke Piala Dunia 2018.

Hanya dua pasukan teratas daripada WHWL pusingan kedua ini akan mendapat tiket automatik ke pusingan separuh akhir liga yang diadakan dalam dua edisi, masing-masing di Belgium dan Afrika Selatan.

Menyedari situasi itu, jurulatih kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah, menjanjikan anak buahnya akan mengasak habis-habisan ketika berdepan Itali bagi memastikan dapat muncul sebagai pemenang dalam aksi di Stadium Hoki Tun Razak, esok.

"Itali berada pada ranking yang lebih baik daripada Malaysia, sering beraksi dalam liga dunia dan memiliki ramai pemain yang hebat. Kami tidak akan rugi apa-apa jika bermain secara agresif untuk mengasak dan mencari gol.

"Kita kurang tekanan dalam perlawanan itu berbanding dengan aksi menentang Thailand semalam. Saya cuma harapkan lebih ramai penyokong akan datang ke stadium untuk menjadi pemain ke-12 negara bagi melakar kejutan ke atas Itali," katanya.

Sungguhpun masih ada peluang untuk mara ke Pusingan Separuh Akhir WHWL, menerusi dua pasukan terbaik di posisi ketiga daripada tiga edisi Pusingan Kedua yang diadakan di Malaysia, Sepanyol dan Kanada, skuad negara jelas tidak boleh bergantung kepada tuah itu.

Ini berikutan adanya beberapa negara terkemuka dunia seperti pasukan nombor 11 dunia, Sepanyol, Scotland (17), Poland (20) yang beraksi di edisi Pusingan Kedua di Valencia, Sepanyol dari 4-12 Feb ini.

Bagi edisi di Vancouver, Kanada pula, negara seperti India (12), Kanada (18) dan Belarus (19) yang kesemuanya mempunyai ranking lebih baik daripada Malaysia (21), menjadikan kelayakan dengan cara itu hampir mustahil.

Malaysia mara ke separuh akhir edisi Pusingan Kedua ini selepas menduduki tangga kedua Kumpulan B dengan kemenangan 9-0 ke atas Hong Kong, tewas 1-2 kepada Ireland dan mengalahkan Kazakhstan 13-1 sebelum menundukkan Thailand 3-0 di suku akhir semalam.

Itali masih belum tewas dan gawang mereka belum dibolosi dalam kejohanan ini selepas menang 3-0 ke atas Wales, menundukkan Thailand 5-0 dan membelasah Singapura 9-0 sebelum mengalahkan Hong Kong 7-0 di suku akhir.

-Bernama

Lihat Komen
ADS