Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Apabila TMJ jadi jurulatih
Diterbitkan:  Jan 21, 2017 4:26 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

Pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil mengulas sendiri mengenai perlawanan melibatkan pasukan JDT dan Kedah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Dalam kenyataannya hari ini, Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Kedah dan penyokong mereka kerana memenangi Piala Sumbangsih.

"Mengenai perlawanan tersebut, saya dimaklumkan ramai orang dan penyokong yang ingin menjadi jurulatih.

"Jadi, saya juga cuba ingin menjadi jurulatih dan ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi pandangan saya mengenai perlawanan tersebut," katanya di Facebook rasmi JDT, hari ini.

Tunku Ismail berkata, jika JDT bermain dengan 11 pemain ia akan menjadi cerita yang berbeza.

"Anda boleh melihat kami telah memberi high pressing. Kami menguasai perlawanan dan mencipta banyak peluang, tetapi kad merah telah membunuh kami. Ia adalah kad merah pada saya kerana ia kad kuning kedua yang jelas.

"Dengan 10 pemain adalah mustahil untuk bertahan dengan penguasaan bola atau memberi tekanan yang lebih kerana anda akan mendedahkan pertahanan anda dan intensiti kecergasan pemain.

"Jika kita menerima kad merah pada 60 atau 70 minit permainan ia masih okay lagi. Tetapi untuk menerimanya sebelum separuh masa kedua saya tahu permainan tidak akan memihak kepada kami. 45 minit untuk menentang 11 pemain bukanlah mudah," jelasnya.

Pada perlawanan itu kemenangan berpihak kepada skuad Helang Merah dengan menundukkan JDT 5-4 menerusi sepakan penalti, sekali gus merangkul piala itu selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 90 minit.

Tambah beliau, satu-satunya pilihan adalah untuk bertahan dan melakukan serangan pantas (counter attack).

"Jadi selepas menerima kad merah permainan telah pun tamat bagi saya.

"Tetapi saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain JDT dan jurulatih untuk semangat berjuang mereka sehingga ke wisel penamat. Saya juga gembira dengan pasukan dan saya yakin mereka akan menjadi semakin baik dan lebih baik pada masa akan datang.

"Penambahbaikan untuk jangka panjang adalah apa yang kita mahukan dan itulah apa yang kita ada ketika ini. Untuk para penyokong JDT terima kasih atas sokongan anda," katanya.

Tunku Ismail menegaskan perjalanan liga musim ini masih jauh dengan baki 47 perlawanan

"Kami benar-benar menghargainya. Akan ada beberapa perubahan lagi menjelang bulan Jun untuk mencapai sasaran dan kita akan melihatnya nanti. Jadi jangan sedih.

"Ia bukan pengakhiran dunia ini. Enjoy sepanjang musim ini dan sentiasa bersatu. Sekali lagi tahniah kepada Kedah dan JDT," ujarnya.

Lihat Komen
ADS