Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas dibelenggu masalah dalaman, skuad bola sepak Selangor tetap garang pada aksi pertama Liga Super 2017.

The Red Giants tampil menewaskan Pulau Pinang 2-0 pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.

Kedua-dua pasukan nampak tidak sabar untuk saling bersaing pada awal separuh masa pertama dengan tempo permainan pantas ditunjukkan.

Pasukan pelawat bagaimanapun lebih menguasai padang seketika, manakala Selangor cuba menyaingi tekanan dan taktikal lawan.

Anak buah Ashley Westwood kemudiannya mula bermasalah dengan percaturan dan serangan balas pemain tuan rumah.

Selangor melalui percubaan Saiful Ridzuwan Selamat hampir memperdayakan penjaga gol Pulau Pinang dengan rembatan yang sedikit tersasar di bahagian bahagian kiri gawang.

Anak buah P Maniam yang mula memperolehi rentak dilihat semakin membaca gerak-geri permainan lawan yang mengetengahkan formasi 5-3-2.

Mereka berjaya memecahkan ruang pertahanan Pulau Pinang melalui hantaran pantas dan cuba mencari peluang di pelbagai posisi.

Namun Selangor agak tersentak pada minit ke-25 selepas sepakan bebas diambil penyerang lawan yang juga pemenang Anugerah Puskas 2016, Faiz Subri.

Sepakan dari luar kotak penalti di bahagian kiri dilakukan Faiz dilihat melencong ke arah gawang Selangor, namun sedikit sipi di posisi kanan tiang gol.

Kesilapan penjaga gol

Selangor kemudiannya menggembirakan penyokong mereka melalu gol pertama berjaya dihasilkan Adam Nor Azlin di minit ke-35.

Jaringan yang berpunca dari umpanan silang S Veenod itu ditanduk Ugo Ukah dan ditampang penjaga gol Pulau Pinang, Syed Adney Syed Hussein sebelum sentuhan penyudah dilakukan Adam.

Susulan itu, Selangor mula mengorak langkah semangat mereka dengan penguasaan serangan yang memaksa pasukan lawan bertahan.

Namun, menjelang minit akhir 45 pertama, kesilapan Syed Adney melakukan sepakan lemah memberi peluang kepada Selangor melakukan serangan pantas untuk mencipta gol kedua mereka melalui Forkey Doe pada minit ke-44.

Kembali di 45 kedua, Selangor terpaksa melupakan aksi Forkey Doe yang mengalami kecederaan dan diganti dengan penyerang tempatan, Afiq Azmin.

Mereka lebih mengendurkan serangan dan banyak bertahan ketika skuad Harimau Kumbang melakukan serangan bertali-arus di separuh masa kedua.

Bagaimanapun, kemaraan anak buah Westwood serba tidak menjadi untuk mengatasi kekangan skuad tuan rumah sebelum terpaksa akur dengan keputusan 2-0.

Keputusan perlawanan lain:

Felda United 1-0 PKNS FC
T-Team 1-1 Sarawak
Perak 1-1 Pahang

 

 

 

Lihat Komen
ADS