Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Azandra impi jadi pelumba MotoGP wanita
Diterbitkan:  Jan 22, 2017 4:40 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

Pelumba cilik 'pocket bike', Nurul Azandra Qistina Shamsul Alam, 9, memasang impian besar menjadi pelumba wanita negara di
perlumbaan MotoGP dunia.

Kejayaan menduduki tempat ketiga dalam kategori pendatang baharu di
Kejohanan Minibike Track Day 2016 serta kelima dalam kategori sama di Cabaran Minibike Johor, Disember lalu, menyuntik semangat untuknya menjadi pelumba MotoGP satu hari nanti.

"Impian saya adalah menjadi pelumba MotoGP dan mahu buktikan kepada dunia bahawa wanita Malaysia juga mampu beraksi di pentas antarabangsa." katanya yang mesra dengan panggilan Zandra kepada Bernama hari ini.

Ikon sukan reaksi pelancongan Muar 2017 itu yang bercita-cita menjadi
pakar bedah plastik, juga ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa wanita juga mampu menceburi sukan yang lazimnya dimonopoli oleh kaum lelaki.

Menurut ibunya, Nurulinda Abu Bakar Al Sidek, 38, anak tunggalnya mula menunjukkan minat dalam sukan permotoran pada usia tujuh tahun dan beliau serta suaminya, Shamsul Alam Jais mengambil keputusan membeli sebuah motosikal mini 50cc untuk anak mereka.

"Zandra kini berlatih seminggu dua kali bersama bapanya yang juga jurulatih Muar Minibike Racing (MMR) dan beliau (Zandra) cepat mempelajari teknik perlumbaan," kata Nurulinda.

Guru Sekolah Kebangsaan Dumpar, Muar itu berkata beliau tidak memaksa anaknya untuk terlibat dalam sukan permotoran, sebaliknya ianya datang sendiri daripada Zandra.

"Saya kagum dengan keinginan mendalam Zandra untuk mendalami teknik perlumbaan apabila beliau kerap menonton video MotoGP menerusi laman Youtube selain mendapat latihan di MMR," katanya.

Nurulinda berkata hasrat beliau adalah untuk mengembangkan bakat anaknya beraksi di pentas antarabangsa, namun kesukaran mendapatkan penajaan bagi menaik taraf jentera perlumbaan Zandra menyekat hasrat tersebut.

"Baru-baru ini ada pihak dari negara jiran yang menawarkan penajaan kepada Zandra, namun setelah berfikir panjang saya dan suami menolak tawaran tersebut kerana kalau boleh kami ingin Zandra beraksi mewakili Malaysia, bukannya negara lain," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap ada pihak yang bersedia menaja Zandra memandangkan beliau mempunyai bakat dan peluang cerah beraksi di pentas yang lebih tinggi.

Ditanya mengapa memilih sukan permotoran, Nurulinda berkata beliau
membenarkan Zandra kerana sukan tersebut menerap nilai jati diri dan disiplin yang tinggi berbanding sukan lain.

"Selain sukan permotoran, Zandra juga aktif dalam sukan memanah, catur dan taekwondo," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS