Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan

Malaysia memulakan kempen Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2017 dengan penuh dramatik selepas menewaskan Indonesia 6-5 dalam aksi pembukaan Kumpulan B, hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, Thailand, dua jaringan oleh Mohd Ridzwan Bakri pada separuh masa kedua permainan menyaksikan pasukan negara bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan ke atas pasukan pilihan kedua kejohanan itu.

Pasukan di bawah bimbingan Chiew Chun Yong mempamerkan aksi bertenaga sebaik permainan bermula namun Indonesia terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kelima menerusi Andri Kustiawan sebelum Abu Haniffa Hassan menjaringkan gol penyamaan Malaysia dua minit kemudian.

Indonesia yang menduduki ranking ke-45 dunia kemudian berjaya menjaringkan dua gol untuk mendahului 3-1 menerusi jaringan Randy Satria Mushar pada minit ke-10 dan Syahidansyah Lubis minit ke-11.

Tersentak dengan dua gol itu, skuad negara kembali mengatur serangan dan berjaya menyamakan kedudukan 3-3 melalui dua gol berturutan pada minit ke-14 oleh Mohd Azwann Ismail dan Muhammad Azri Rahman.

Bagaimanapun, Indonesia kembali mendahului menerusi gol Ardy Dwi Suwardy pada minit ke-15 dan 19 untuk menjadikan kedudukan 5-3 sehingga tamat babak pertama.

Babak selepas rehat menyaksikan kebangkitan skuad negara apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-26 menerusi Ridzwan dan diikuti seminit kemudian oleh Akmarulnizam Idris untuk menjadikan kedudukan kembali terikat, 5-5.

Ridzwan muncul wira pasukan negara apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-29 untuk mengesahkan kemenangan Malaysia sekali gus mengutip tiga mata penuh.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama juara 2010, Indonesia, Myanmar dan Laos manakala Kumpulan A terdiri daripada pasukan tuan rumah dan juga juara bertahan, Thailand, Brunei dan Timor Leste.

Skuad negara dijadual bertemu Laos untuk aksi kedua kumpulan esok, sebelum bertemu Myanmar pada Rabu.

Untuk rekod, pencapaian terbaik pasukan negara pada kejohanan ini apabila muncul naib juara sebanyak tiga kali pada edisi 2003, 2005 dan 2010.

- Bernama

Lihat Komen
ADS