Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kejohanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) peringkat kebangsaan yang memasuki edisi kedua tahun ini masih lagi relevan sebagai medan terbaik untuk melahirkan lebih ramai pemain bola sepak berbakat di Malaysia.

Timbalan Pengerusi LBR, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat berkata kejayaan pasukan Kuching FA yang menjuarai edisi sulung LBR tahun lepas, menyaksikan mereka layak bermain dalam Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan membuktikan kemampuan mereka untuk bermain pada tahap profesional.

Beliau berkata selain kejayaan Kuching FA itu, seorang pemain berbakat daripada pasukan Kangar FA juga telah dipancing dengan bayaran gaji yang lumayan oleh sebuah pasukan terkemuka dalam Liga Malaysia (Liga-M).

"LBR merupakan platform terbaik untuk melahirkan lebih ramai pemain baharu yang mempunyai bakat, oleh itu semua pasukan yang bertanding pada edisi kali ini boleh menjadikan kejayaan Kuching FA yang bertanding di Liga FAM sebagai contoh terbaik," katanya dalam sidang akhbar selepas sesi taklimat LBR di Kuala Lumpur, hari ini.

Untuk rekod, pasukan Kuching FA muncul juara edisi sulung LBR selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Padang Besar FA pada aksi final di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada Mei, tahun lepas.

Sebanyak 16 pasukan dari lapan zon utama iaitu Utara yang terdiri dari Perlis dan Kedah; Barat (Pulau Pinang dan Perak); Tengah I (Selangor dan Pahang); Tengah II (Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan); Selatan (Melaka dan Johor); Timur (Kelantan dan Terengganu) serta Borneo I (Sabah) dan Borneo II (Sarawak).

Empat pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir yang dijalankan secara format kalah mati.

Juara kejohanan berkenaan bakal membawa pulang hadiah RM100,000 dan RM70,000 untuk naib juara manakala pasukan yang tewas di separuh akhir menerima RM25,000 setiap pasukan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS