Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan menentukan presidennya kelak dinasihatkan mengundi calon yang mempunyai pengetahuan luas mengenai bola sepak.

Penganalisis sukan, Profesor Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata, presiden FAM yang baru mesti mengetahui latar belakang serta perkembangan sukan nombor satu dunia itu sejak ia mula bertapak di negara ini.

"Presiden FAM mestilah orang yang berpengetahuan tentang bola sepak dulu dan sekarang.

"Mereka yang mengundi mesti pilih tokoh yang berpengetahuan dan mempunyai banyak pengalaman dalam bola sepak," katanya kepada Malaysiakini Sukan.

FAM semalam mengesahkan empat individu mendapat pencalonan bagi merebut jawatan presiden badan induk bola sepak negara pada Kongres Pemilihan FAM ke-53, pada 25 Mac ini.

Mereka terdiri daripada bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Aseh Che Mat, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun, Khoo berkata beliau tidak mengenali keempat-empat tokoh berkenaan secara peribadi.

"Saya tidak tahu dengan mendalam latar belakang keempat-empat mereka (calon), bagi saya yang penting setiap perwakilan perlu membuat pilihan berdasarkan kriteria utama tersebut," jelasnya.

Khoo berkata, seseorang yang berpengetahuan bukan sekadar banyak membaca buku, sebaliknya mempunyai pengalaman melalui penglibatan mereka dalam sukan bola sepak.

"Kalau baca buku saja tak boleh, mesti ada pengalaman. Jadi, calon yang dianggap paling banyak pengetahuan dan pengalaman perlu diberi peluang.

"Itu ciri yang paling utama, pengundi perlu ambil tahu mengenai latar belakang setiap calon yang dikemukakan," katanya sambil menegaskan individu terpilih perlu membuktikan kemampuannya memajukan bola sepak Malaysia.

Tambah pakar sejarah itu, sesiapa yang dipilih kelak perlu diberi peluang untuk mengemudi FAM selama tiga tahun bagi membawa perubahan positif terhadap sukan itu.

"Sekiranya tiada perkembangan lebih baik dalam tempoh tersebut, presiden tersebut perlu mengundur diri secara sukarela," katanya.

 

Lihat Komen
ADS