Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Sathia kembali ke padang bola bimbing Felda United

Selepas hampir dua tahun berehat, bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan kembali ke padang selepas menerima ‎lamaran kelab Felda United.

Tidak asing di kalangan jurulatih bola sepak tempatan, Sathianathan menyahut cabaran bersama The Fighters yang beraksi di saingan Piala AFC buat kali pertama musim ini.

Malah, esok ujian pertamanya bersama Felda United berdepan Tampines Rovers pada aksi pembukaan Piala AFC di Stadium Jalan Besar, Singapura.

‎"Saya akan mula esok kerana Felda United beraksi untuk saingan pertama Piala AFC‎, saya akan ke Singapura.

"Saya hanya mahu memerhati kerana tak boleh ubah apa-apa, tetapi saya akan cuba nasihatkan pemain kerana Tampines Rovers mempunyai ramai pemain berpengalaman dan beraksi bersama skuad kebangsaan Singapura," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, hari ini.

Terdahulu naib juara Liga Super 2016 itu ditinggalkan Azmi Mohamed yang membuat keputusan untuk tidak meneruskan khidmatnya.

Sathianathan berkata, ‎untuk perjalanan musim ini tidak banyak boleh diubahnya dalam tempoh yang singkat.

"Ini (esok) tugas pertama, tetapi untuk masa akan datang saya tak boleh buat perubahan besar kerana masa singkat dan lepas ini kita lawan Perak.

"Apa pun yang menentukan kejayaan adalah pemain itu sendiri, kita tak boleh ajar mereka main bola sepak.

"Kita hanya boleh ajar apa yang patut dibuat dalam perlawanan. Taktikal, pertahanan, serangan, persiapan mental dan fizikal‎," jelas bekas jurulatih ATM yang mengakhiri khidmatnya pada 2015.

Tambah jurulatih berusia 59 tahun itu, apa yang diharapkan kini adalah penerimaan di kalangan pemain pasukan itu sendiri.

"Harap pemain terima saya, selepas 18 bulan (rehat) saya (kena) caj bateri, ini cabaran baru dan saya terima.

"Kerana saya memang orang padang, bukan orang pejabat," katanya yang turut melepaskan jawatan di Jabatan Kejurulatihan FAM.

Lihat Komen
ADS