Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Skuad bola jaring negara berazam mahu menghadiahkan pingat emas buat negara pada temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur
yang akan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos ini.

Kapten pasukan, Nurul Adha Abu Bakar berkata beliau dan rakan sepasukan mahu menebus kekecewaan yang dialami pada Sukan SEA ke-28 dua tahun lalu selepas tewas di tangan pasukan tuan rumah, Singapura.

Nurul Adha, 25, berkata kekalahan itu sangat pahit apabila sekadar tewas tipis dengan perbezaan tiga mata sahaja.

"Kali ini kita memang mahukan pingat emas itu. Kami sudah merasai perasaan betapa sakitnya (kekalahan) apabila sekadar meraih pingat perak dengan perbezaan tiga mata," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad bola jaring di sini, semalam.

Beliau turut berkata kehadiran ketua jurulatih, Tracey Robinson dari Australia sejak Februari tahun lepas ternyata banyak membantu pasukannya.

Menurut beliau, perubahan yang dilakukan Tracey ke dalam pasukan jelas kelihatan terutama apabila mereka menjuarai Kejohanan Bola Jaring Asia 2016 di Bangkok, menewaskan pilihan kedua kejohanan, Sri Lanka.

"Kehadiran jurulatih (Tracey) banyak meniupkan semangat kami serta menampakkan perubahan yang ketara dalam pasukan, saya dan rakan sepasukan akan memberikan yang terbaik pada Sukan SEA nanti," katanya.

Skuad bola jaring akan berlepas ke Hong Kong pertengahan Mac ini bagi menghadapi beberapa siri perlawanan persahabatan sebagai pendedahan terhadap saingan sebenar.

Acara bola jaring pada sukan dwitahunan itu dipertandingkan kembali pada Sukan SEA 2015 selepas 14 tahun. Kali terakhir, Malaysia memenangi pingat emas adalah pada edisi 2001 di Kuala Lumpur. -Bernama

Lihat Komen
ADS