Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

'Naik pangkat' itulah gambaran yang berlaku dalam ‎Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) apabila menerima presiden baru dengan pelantikan Datuk Seri Subahan Kamal sebagai peneraju jawatankuasa eksekutif bagi sesi 2017/2021.

Pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang berlangsung di Shah Alam, hari ini, Subahan dilantik sebulat suara selepas beliau satu-satunya nama yang diangkat dalam pencalonan kerusi nombor satu badan induk bola sepak Selangor itu.

Ia sekali gus mengggantikan posisi yang ditinggalkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meletak jawatan, penghujung tahun lalu.

Sebelum ini, Subahan yang juga salah seorang calon timbalan presiden FAM merupakan naib presiden FAM.

Selain itu bagi jawatan timbalan presiden FAS pula memilih Datuk Seri Shahril Mokhtar, manakala naib presiden disandang Abdul Rauf Ahmad dan Datuk Lim Thean Shiang.

Dua lagi kerusi naib presiden diisi oleh Nizam Sani dan K Palanisamy.

Tak dapat dana satu sen pun

Sementara itu, mengulas pelantikan jawatankuasa eksekutif FAS baru itu Subahan berkata, mereka mahu meneruskan kesinambungan kemenangan pasukan bola sepak Selangor.

Bagaimanapun katanya, mereka memerlukan masa dan tahun ini menjadi tempoh untuk memperbaiki pengurusan termasuk mencari dana.

"Tak boleh dinafikan di pasukan yang paling miskin sekarang, dana satu sen pun kita tak dapat khususnya daripada kerajaan negeri.

"Tetapi dengan adanya usaha barisan kepimpinan yang bersama FAS, maka dapat kita teruskan perjuangan," katanya pada sidang media selepas EGM.

'10 kerja pun saya boleh buat'

Subahan berkata, musim ini menjadi tahun untuk memperbaiki kelemahan pasukan Selangor dan beliau berjanji skuad The Red Giants tampil lebih kuat pada musim depan.

"Tiada apa maruah yang perlu dikembalikan, Selangor masih lagi teguh dan saya cukup bangga dengan pencapaian.

"Saya berani kata sasaran kita tahun ini jangan kita tersingkir daripada liga (Liga Super)," jelasnya.

Ditanya mengenai banyak komitmen perlu dipikul beliau sekiranya turut dipilih sebagai timbalan presiden‎ FAM, Subahan berkata itu tidak menjadi masalah.

‎"Boleh, boleh (bagi komitmen). Kerana apabila anda memegang jawatan presiden ‎bukan anda turun sepak bola, latih pemain.

"Presiden ini ‎orang yang meletakkan idea, visi dan misi kepada barisan pengurusan. Bagi saya, 10 kerja pun saya boleh buat.

"Jangan menidakkan seseorang. Saya yakin dengan kepimpinan dan kudrat saya InsyaAllah akan dilaksanakan dengan baik," ujarnya.

Lihat Komen
ADS