Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
TMJ sebaris Safiq Rahim bermain untuk JDT?
Diterbitkan:  Feb 25, 2017 6:20 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Keghairahan Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim terhadap bola sepak dilihat semakin membuak-buak.

Selepas tampil menawarkan diri menjadi salah seorang calon presiden FAM pada kongres ke-53 badan itu pada 5 Mac depan, terbaru pemilik kelab JDT itu bakal bergelar pemain skuad Harimau Selatan.

"JDT bakal melakukan tiga perubahan dan salah satunya akan mendaftarkan TMJ sebagai pemain," kata kenyataan JDT melalui Facebook rasminya hari ini.

Pendaftaran Tunku Ismail sebagai pemain JDT itu akan dilakukan apabila jendela perpindahan pemain dibuka pada bulan Mei nanti.

"Ia merupakan sejarah baru dalam negara dan kelab apabila pemilik kelab didaftarkan sebagai pemilik/pemain di Liga Super Malaysia dalam satu masa," tambah kenyataan itu.

Turut disertakan bersama kenyataan itu ialah beberapa keping gambar yang menunjukkan Tunku Ismail sedang melakukan latihan fizikal di gimnasium.

Terdahulu, Tunku Ismail disahkan sebagai calon presiden FAM yang bakal berdepan bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa dalam perebutan kerusi panas badan induk itu.

Jika rancangan JDT itu menjadi kenyataan Tunku Ismail akan berada sebaris dengan pemain handalan kelab berkenaan, termasuk Safiq Rahim serta ayam tambatan lain mereka.

Lihat Komen
ADS