Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Turan, Ronaldo berbakti di sempadan
Diterbitkan:  Feb 27, 2017 6:16 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Bintang Barcelona, Arda Turan, dijemput untuk bermain bola sepak bersama kanak-kanak pelarian Syria yang kini ditempatkan di wilayah Kilis, sempadan Turki- Syria

Jemputan itu dibuat oleh Datuk Bandar Kilis, Hasan Kara, bagi merealisasikan impian kanak-kanak pelarian tersebut.

Kilis antara wilayah yang menerima kemasukan besar-besaran di kalangan pelarian Syria yang masih dibelenggu perang saudara.

Asalnya Kilis didiami kira-kira 94,000 orang tetapi dengan kemasukan pelarian dan pembukaan petempatan baru, jumlah itu bertambah 135,000 orang lagi.

Petempatan kem pelarian itu dibuka di kawasan luar bandar.

"Kami ada ramai anak yatim di sini dan mereka semua mempunyai suatu persamaan, iaitu cinta mendalam terhadap bola sepak," kata Hasan dipetik akhbar Turki, Dunya.

"Kami menganjurkan pertandingan dan selepas setiap perlawanan anak-anak memberitahu kami bahawa mereka mahu menjadi Arda Turan dan bermain bola sepak dengannya.

"Kami telah menjemput Turan ke Kilis dan mudah-mudahan impian kanak-kanak ini akan menjadi kenyataan," katanya.

 

 

Turan adalah warga Turki beragama Islam yang menjadi idola peminat bola sepak di Turki serta negara berhampirannya.

Selain Barcelona, Turan, 30, turut menyumbang kemahirannya sebagai penyerang tengah untuk pasukan kebangsaan Turki.

Selain Turan, bintang bola sepak Real Madrid, Cristiano Ronaldo turut dijangka akan melawat kanak-kanak pelarian Syria di sempadan kedua-dua negara itu.

Pemain Portugal itu dijadaul menyertai pelakon Hollywood Angelina Jolie, dalam siri televisyen Turki yang dikenali sebagai Hayat Koprusu yang berpusat di Gaziantep berhampiran Kilis.

Siri ini akan memberi tumpuan kepada keluarga Syria yang melarikan diri daripada perang saudara dan kini menetap di Turki.

Pengarah siri itu, Eyup Dirlik, dipetik Turkish-Football.com berkata: "Kami akan memulakan penggambaran pada minggu pertama April. Siri ini adalah mengenai masalah keluarga pelarian dan apa yang mereka lalui.

"Akan ada penampilan pelakon dari seluruh dunia termasuk Cristiano Ronaldo, Angelina Jolie dan Nancy Ajram," katanya.

Nancy, 33, adalah penyanyi pop Arab kelahiran Lubnan dan amat terkenal di Timur Tengah.
 

Lihat Komen
ADS