Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kim Swee sasar Filipina modal baiki ranking Malaysia
Diterbitkan:  Mar 10, 2017 12:15 PM
Dikemaskini: 4:18 AM

Skuad Harimau Malaysia mempunyai objektif meraih kemenangan pada perlawanan antarabangsa A bertemu Filipina di Stadium Peringatan Rizal, Manila, pada 22 Mac ini.

Pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee, kemenangan ke atas Filipina yang kini di ranking ke-124 dunia dilihat mampu memperbaiki lagi kedudukan Malaysia yang kini di kedudukan ke-161 dunia selepas kemas kini terbaharu, semalam.

"Bagi saya, perlawanan menentang Filipina ini cukup penting kerana kita sudah hampir empat bulan tidak beraksi dalam perlawanan antarabangsa selepas berakhir kempen Piala Suzuki AFF 2016 pada November lalu.

"Jika dilihat rekod pertemuan Malaysia dengan Filipina, sering kali berakhir dengan keputusan seri.

"Jadi sudah tentu kali ini kita mahukan kemenangan tetapi bukan sesuatu yang mudah kerana Filipina juga pasukan yang baik dan kedudukan ranking mereka jauh lebih baik daripada kita," katanya seperti dilaporkan web rasmi FAM, hari ini.

Mengulas nama 23 pemain dipanggil untuk kem latihan pusat bermula Isnin ini, Kim Swee berkata, sebahagian besar pemain skuad sebelum ini dikekalkan kerana persefahaman yang dibentuk dalam kem-kem latihan sebelum ini.

Pada masa sama, Kim Swee berkata, ada beberapa nama baru turut disenaraikan selepas dia berpuas hati dengan penilaian prestasi semasa pemain.

Selain itu lima pemain terpaksa diketepikan dengan tiga daripadanya disebabkan kecederaan, iaitu Ahmad Fakri Saarani, Irfan Fazail dan Darren Lok.

"Muka baru yang dipanggil pula adalah berdasarkan prestasi baik mereka dalam saingan liga seperti Farizal Harun, Akram Mahinan dan Afif Amiruddin," katanya.

Kim Swee juga mengakui dia tidak boleh melakukan terlalu banyak pertukaran pemain kerana faktor masa yang mengehadkan tempoh untuk mereka menyesuaikan diri antara satu sama lain.

"Jadi majoriti pemain dipanggil ini sudah memahami apa yang perlu kita lakukan," jelas jurulatih berusia 47 tahun itu.

Namun Kim Swee tidak menolak kemungkinan untuk memanggil beberapa nama lain jika terdapat mana-mana pemain mempamerkan persembahan baik pada perlawanan pusingan ketiga Piala FA, malam esok.

"Mungkin selepas perlawanan malam esok, jika ada kecederaan atau sebagainya, kita mungkin akan panggil pemain lain yang menunjukkan prestasi lebih baik kerana kita masih mempunyai masa untuk menyenaraikan pemain jika perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 28 Mac ini diteruskan.

"Sekarang kita masih belum pasti sama ada akan hanya beraksi satu perlawanan bertemu Filipina atau dua perlawanan bertemu Filipina dan Korea Utara. Kita masih menunggu kata putus daripada AFC," kata Kim Swee.

Kim Swee yang masih berada di Melaka bagi urusan keluarga selepas bapanya meninggal dunia Selasa lalu, turut memberitahu bahawa sesi hari pertama kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Isnin ini akan dikendalikan penolong jurulatih kebangsaan, Brad Maloney.

"Saya akan pulang ke Kuala Lumpur kemungkinan pada Selasa selepas segala urusan selesai," ujarnya.

Lihat Komen
ADS