Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tekanan emosi dalam perlawanan 'abang-adik' serta hilang fokus pada saat akhir menjadi punca kekalahan T-Team kepada Terengganu di pusingan ketiga kejohanan kalah mati Piala FA, semalam.

Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan mengakui tekanan berdepan pasukan yang dianggap abang itu menyebabkan pemainnya tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik.

"Pada masa tambahan, kami berjaya mengawal permainan tapi hanya satu kesilapan pada minit terakhir menyebabkan kami dihukum lawan.

"Kami kurang bernasib baik malam ini dan tahniah buat Terengganu yang sememangnya beraksi dengan baik sepanjang perlawanan. Inilah bola sepak, apa juga boleh berlaku," katanya kepada pemberita selepas perlawanan semalam.

Dalam pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim membenam cabaran pasukan T-Team selepas menang 1-0 hasil jaringan pemain import dari Uzbekistan, Lutfulla Turaev pada minit ke-120.

Perlawanan itu turut dicemari insiden kekasaran sehingga memaksa pengadil, Mohd Nafeez Abdul Wahab melayangkan kad merah kepada pemain T-Team, Mohamad Azalinullah Mohammed Alias pada minit ke-62.

Nasib sama turut menimpa Terengganu yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain, selang lapan minit kemudian selepas Mohd Firdaus Mohd Faudzi mengutip kad kuning kedua.

Kekecohan yang berlarutan kira-kira lima minit di antara kedua-dua pasukan memaksa pengadil Mohd Nafeez mengarahkan penolong pengurus pasukan Terengganu, Mohd Sabri Abas, dan penolong jurulatih Terengganu, Azhari Salim, meninggalkan
padang kerana dikatakan mempertikaikan keputusan pengadil.

Sementara itu, Irfan Bakti lega dengan jaringan minit akhir yang telah menyelamatkan pasukannya untuk membawa cabaran ke suku akhir.

Beliau turut bangga dengan anak didiknya sepanjang yang diheret sehingga minit ke-120.

"Saya sudah berpesan kepada pemain untuk menghabiskan permainan dalam tempoh 90 minit kerana letih untuk bersambung sehingga masa tambahan...syukurlah mereka tidak mengalami kekejangan otot," katanya.

Lihat Komen
ADS