Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sukan bola sepak di Malaysia sememangnya didominasi kaum lelaki, namun kini kaum hawa mula diberi mandat untuk menerajui pasukan bola sepak.

Walaupun nama Siti Zubaidah Abdul Jabar, 56, Presiden PKNS FC kurang meniti di bibir peminat bola sepak tempatan berbanding rakan sejawatnya Tunku Tun Aminah dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), beliau adalah 'tulang belakang' kelab PKNS.

Ketua Pegawai Korporat PKNS itu berkata beliau amat terkejut apabila
dilantik sebagai presiden kelab bola sepak itu pada 2014, memandangkan beliau langsung tidak berminat dengan sukan tersebut, dan tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.

Beliau yang berkulusan pengajian sains sosial dengan pengkhususan dalam bidang pengajian ASEAN dari Universiti Malaya, tidak menjadikan kekurangan pengetahuannya itu sebagai kelemahan, malah terus membuat kajian dan membaca buku berkaitan bola sepak, selain turun padang bersama pasukan Kelab PKNS FC.

Sikap terbuka pengurus dan pemain bola sepak PKNS dalam menerimanya sebagai sebahagian daripada pasukan itu telah meringankan bebannya untuk memimpin pasukan itu mencapai kecemerlangan, katanya dalam temu bual eksklusif bersama
Bernama di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini.

Siti Zubaidah telah menyuntik beberapa revolusi baharu dalam menjadikan skuad itu antara yang terbaik dalam arena bola sepak negara.

Hasil percaturannya merencanakan beberapa strategi telah membuahkan hasil apabila pasukan PKNS FC muncul naib juara Piala FA musim lepas selain naib juara Liga Perdana 2016 yang menyaksikan mereka dinaikkan pangkat ke Liga Super musim ini.

"Sebelum 2014, pihak pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merasakan perlu kepada rombakan besar-besaran bagi memastikan pengurusan kelab dapat dilaksanakan dengan lebih efisien, seiring ke arah penswastaan liga bola sepak tempatan.

Tuah memihak kepada diri saya kerana dipilih menjadi presiden kelab….mereka mungkin melihat kepimpinan yang ada pada diri saya manakala dari segi pemikiran strategik, mungkin saya lebih ke depan daripada calon lain," katanya.

Selain misi mencipta kejayaan di pentas bola sepak tempatan, beliau berkata harapannya adalah untuk menjadikan PKNS FC sebagai medan melahirkan pemain berkualiti sukan nombor satu negara.

Siti Zubaidah berkata ini mampu dihasilkan kerana PKNS FC mempunyai
kira-kira 400 pemain terdiri daripada pelatih akademi sehinggalah pemain
profesional selain pasukan teknikal yang merangkumi staf kejurulatihan termasuk jurulatih pasukan.

Beliau berkata sejak 2015, semua pasukan bola sepak dikendali PKNS bernaung di bawah PKNS FC.

"Sebelum tahun 2014, PKNS FC hanya memiliki pasukan yang bermain di liga bola sepak Malaysia tetapi hakikatnya, PKNS mempunyai banyak pasukan bola sepak seperti pasukan akademi dari umur 8 tahun hingga 16 tahun selain pasukan bola sepak Kelab Sukan dan Rekreasi PKNS," kata anak jati Banting itu.

Katanya, langkah itu penting kerana ia bertepatan dengan satu daripada
syarat transformasi penswastaan Liga Malaysia (Liga-M) menjelang 2018 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahu setiap pasukan mempunyai pasukan akademi dan pelapis. -Bernama

Lihat Komen
ADS