Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tunku Ismail berhak lantik Gomez, kata Khairy

Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempunyai hak melantik bekas pengendali skuad Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez sebagai ketua jurulatih pasukan Harimau Malaysia yang baharu menggantikan Datuk Ong Kim
Swee.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu, Tunku Mahkota Johor itu mempunyai kuasa melantik jurulatih terbaik untuk membimbing skuad senior ataupun pasukan Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan.

"(Pemilihan jurulatih) itu terpulang kepada pengurusan dan kepimpinan FAM untuk melantik jurulatih kebangsaan dan juga jurulatih skuad peringkat umur," katanya.

Khairy berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan
pengumuman Prudential Assurance Malaysia Berhad sebagai rakan penaja perak untuk Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-29 (KL 2017), di Putrajaya hari ini.

Menerusi kerjasama tersebut, syarikat insurans berkenaan akan menyediakan perlindungan insurans kepada 13,000 sukarelawan KL 2017 selain sejumlah wang tunai yang jumlahnya tidak dinyatakan.

Antara tindakan pertama Tunku Ismail sebaik disahkan sebagai Presiden FAM pada Sabtu lalu adalah melantik Gomez menggantikan Kim Swee yang diberi tugas melatih skuad B-23 negara dan menamatkan kontrak pengendali sedia ada, Frank Bernhardt.

Mengulas lanjut, Khairy yakin kemampuan Kim Swee mengendalikan skuad B-23 kebangsaan memandangkan jurulatih kelahiran Melaka itu mempunyai pengalaman luas membimbing skuad sama dalam menghadapi beberapa temasya Sukan SEA sebelum ini.

Beliau menegaskan penamatan khidmat Bernhardt, jurulatih dari Jerman, selaku jurulatih skuad B-23 kebangsaan harus dihormati memandangkan program pasukan itu dirangka oleh FAM sendiri.

"Ini kerjasama antara MSN (Majlis Sukan Negara) dan persatuan sukan
kebangsaan.

"Kita perkasakan persatuan sukan kebangsaan untuk membuat keputusan berdasarkan perjanjian di bawah Program Kita Juara dan ia juga termasuk pemilihan jurulatih," tegas Khairy.

Tunku Ismail menang tanpa bertanding jawatan Presiden FAM bagi sesi
2017-2021 selepas pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, menarik diri.

Annuar dilaporkan sebagai berkata beliau menarik diri daripada perebutan jawatan itu kerana yakin Tunku Ismail mampu membawa perubahan kepada bola sepak tanah air. -Bernama

Lihat Komen
ADS